Tuesday, November 29, 2022
22.6 C
Brunei

-

Brunei, Malaysia komited tingkatkan kerjasama

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei Darussalam hari ini mengadakan Sesi Networking yang berlangsung di Dewan Serba guna, D’Sunlit.

Hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah yang dialu-alukan oleh Presiden Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei, Jackson Ting.

Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan berbesar hati atas penganjuran sesi pada malam tersebut yang merupakan julung kalinya diadakan bersama Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei.

Beliau pada masa yang sama berharap agar sesi perbincangan berkenaan akan memberikan hasil dan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, TYT Dato’ Raja Reza dalam ucapannya menjelaskan para ahli Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei jelas sekali memainkan peranan yang penting kepada ekonomi Brunei dan turut menyumbangkan kepimpinan dalam komuniti perniagaan di negara ini.

TYT Dato’ Raja Reza menyampaikan ucapan semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Muiz Matdani

Tuan Yang Terutama turut teruja melihat hubungan bilateral antara Malaysia dan Brunei yang berterusan khususnya sejak beberapa tahun terakhir ini di mana jumlah keseluruhan perdagangan dan pelaburan pada tahun 2021 lalu telah mencecah kepada RM8.03 bilion berbanding tahun sebelumnya (2020) yang hanya mencapai RM4.6 bilion.

Beliau turut berharap agar pada tahun ini ia akan terus meningkat sehingga melepasi RM10 bilion yang mana merupakan suatu pencapaian yang membanggakan buat kedua-dua buah negara.

Pada masa yang sama Tuan Yang Terutama turut menzahirkan perasaan terujanya apabila melihat banyak syarikat yang turut terlibat dalam kegiatan khidmat masyarakat seperti dalam pengendalian acara tanggungjawab sosial korporat termasuklah penganjuran kempen derma darah, penyerahan sumbangan kepada beberapa buah organisasi bukan kerajaan, pembersihan pantai dan banyak lagi usaha-usaha murni lainnya.

Tuan Yang Terutama dalam ucapannya juga mengingatkan agar semua warga Malaysia yang menjalankan perniagaan di negara ini untuk sentiasa mematuhi dan mengikut segala peraturan dan undang-undang di negara ini di samping untuk menjaga kesejahteraan pekerja mereka, terutama bagi syarikat-syarikat yang menggunakan tenaga kerja asing.

Turut hadir pada acara tersebut ialah warga Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam dan ahli-ahli Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Taliban Pakistan tamat gencatan senjata

ISLAMABAD, 28 NOV – Taliban Pakistan berkata hari ini mereka telah membatalkan gencatan senjata goyah yang dipersetujui dengan kerajaan pada Jun lalu dan mengarahkan...
- Advertisment -