Brunei mampu masuki fasa endemik lebih awal

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV–Negara Brunei Darussalam mampu memasuki fasa endemik dengan lebih awal sekitar penghujung November atau awal bulan Disember sekiranya jumlah harian penduduk yang mendapatkan vaksin adalah konsisten dan mencapai kadar 80 peratus vaksinasi.

Ini memandangkan hari ini negara sudah mencapai kadar 70 peratus dan mungkin mencapai 73 peratus menjelang 19 November nanti.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa soal jawab ketika Sesi Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Jadi dalam dua minggu atau tiga minggu, ia boleh mencapai 80 peratus dan besar kemungkinan, ia akan lebih awal dari yang dijangkakan sama ada pada penghujung November atau awal bulan Disember kita sudah mencapai 80 peratus,” ulas beliau.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut memuji sokongan orang ramai berganding bahu membantu pihak kerajaan untuk tampil ke hadapan dengan mendapatkan dos pertama dan kedua tepat pada masanya dan berjaya mencapai sasaran 70 peratus penduduk lengkap menerima vaksinasi lebih awal daripada jangkaan.

“Terima kasih kepada orang ramai yang sama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk memastikan semua dilindungi,” tambah beliau.

Selain itu, beliau turut me-negaskan dalam masa terdekat ini akan dikongsikan senarai kompaun yang dikeluarkan terhadap kesalahan-kesalahan seperti melanggar arahan perkumpulan yang melebihi 200 orang, pekerja yang tidak bervaksin dan sebagainya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut memberi respons kepada pertanyaan mengenai bagi mereka yang memberi maklumat palsu mengenai vaksinasi pekerja mereka, akan dikenakan tindakan.