Brunei mara ke final

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat menyaksikan perlawanan di antara Pasukan Polo Brunei dan Pasukan Malaysia pada hari kedua Kejohanan Polo Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72.

Berangkat sama menyaksikan perlawanan yang diadakan di Royal Brunei Polo and Riding Club itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Dalam perlawanan kedua itu menyaksikan Pasukan Polo Brunei mendominasi perlawanan dan sekali gus berjaya menjinakkan Pasukan Malaysia dengan keputusan 8-4.5.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mengawal hantaran Gaston Urturi sebelum menghadiahkan mata pertama bagi Pasukan Polo Brunei.

Meskipun Pasukan Malaysia meraih kelebihan setengah mata pada awal perlawanan, ia sedikit pun tidak mempengaruhi corak permainan Pasukan Polo Brunei yang diketuai oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ketika berkenan menyaksikan perlawanan polo antara Pasukan Negara Brunei Darussalam menentang Pasukan Malaysia.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dalam perlawanan menentang Pasukan Malaysia.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan beraksi dalam perlawanan itu.
Perlawanan Kejohanan Polo bersempena Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-72 tahun antara Pasukan dari Singapura (putih) dengan Pasukan dari Filipina (hijau).

Mata kedua Pasukan Polo Brunei hadir pada chaka kedua apabila Gaston menambah jaringan melalui pukulan penalti 60 ela di hadapan gawang Malaysia bagi menambah kelebihan pasukan.

Namun Pasukan Malaysia cuba bangkit dengan menjaringkan satu mata menerusi Saladdin Mazlan bagi menjadikan kedudukan 2-1.5.

Pada chaka kedua, Pasukan Polo Brunei digemparkan dengan serangan balas pasukan lawan, namun ketangkasan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar di bahagian pertahanan berjaya menangkis cubaan ke arah gawang pasukan.

Sebaliknya, Gaston Urturi memanfaatkan ketumpulan serangan Pasukan Malaysia dengan jaringan ketiga Pasukan Polo Brunei.

Gaston Urturi meneruskan aksi hebatnya dengan jaringan pembukaan di chaka ketiga apabila menghukum kelekaan pemain Malaysia di kawasan sendiri untuk melebarkan kelebihan pasukan, sekali gus melengkapkan hatriknya pada perlawanan itu.

DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen kemudian meneruskan momentum jaringan pasukan dengan bertindak cemerlang menyudahkan hantaran tepat Gaston Urturi menembusi gawang Malaysia.

Jaringan Pasukan Polo Brunei tidak berakhir di situ apabila kapten pasukan, YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah membuat gerakan cantik melepasi kawalan pertahanan Malaysia bagi menjaringkan gol keenam pasukannya.

Gandingan DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Gaston Urturi terus menjejaskan Pasukan Malaysia apabila DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berjaya melengkapkan hatriknya serta menjaringkan gol keempatnya pada chaka ketiga perlawanan itu.

Pada chaka terakhir, Pasukan Malaysia cuba bangkit dengan dua jaringan dihasilkan menerusi Datuk Mohamed Moiz dan satu jaringan oleh Saladdin Mazlan.

Setelah dua kemenangan berturut-turut, Pasukan Polo Brunei mara ke perlawanan akhir, akan menentang Pasukan Singapura, yang menumpaskan Pasukan Filipina dengan jaringan 7–3 dalam perlawanan lebih awal.

Justeru, Pasukan Malaysia akan berhadapan Pasukan Tentera Republik Islam Pakistan esok, manakala Pasukan Polo Brunei akan menghadapi saingan Pasukan Singapura bagi merebut gelaran juara kejohanan pada petang Jumaat ini.