Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Brunei masuki monsun barat daya

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Negara Brunei Darussalam dijangka akan memasuki musim peralihan monsun ke monsun barat daya akhir Mei ini, di mana keadaan angin secara amnya perlahan dan bertiup dari berbagai-bagai arah akan mula bertiup dari arah barat daya.

    Menurut kenyataan yang di-keluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, menjelaskan bahawa pada musim barat daya, keadaan atmosfera pada kebiasaannya adalah agak stabil dan aktiviti kejadian ribut petir menjadi berkurangan jika dibandingkan semasa fasa peralihan monsun pada dua bulan yang lalu.

    Monsun berkenaan biasanya akan berterusan sehingga September di mana semasa kemuncak musim itu iaitu sekitar Ogos, negara kebiasaannya akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan oleh cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

    Selain itu, merujuk pada rekod klimatologi jabatan berkenaan, jumlah turunan hujan normal yang direkodkan di Stesen Pencerapan Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi Jun, Julai dan Ogos adalah 237.7mm, 241.8mm dan 231.5mm.

    Berpandukan kepada beberapa buah model iklim antarabangsa, jumlah turunan hujan di Negara Brunei Darussalam bagi Jun dijangka berada dalam lingkungan sedikit di bawah normal. Manakala, bagi Julai dan Ogos, turunan hujan dijangka berada dalam lingkungan sedikit di atas normal.

    Monsun barat daya dijangka berterusan sehingga September di mana semasa kemuncak musim iaitu sekitar Ogos, negara kebiasaannya akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan oleh cuaca kering di rantau Asia Tenggara. – Gambar hiasan

    Monsun berkenaan juga selari dengan musim pembentukan sistem siklon yang aktif seperti ribut tropika dan taufan di kawasan barat laut Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.

    Kenyataan menyatakan bahawa sekiranya sistem siklon dikesan, tertakluk pada jarak lokasi sistem berkenaan dari kawasan Negara Brunei Darussalam, negara akan mengalami keadaan cuaca yang tidak menentu dan sekali sekala berlaku hujan ribut petir berserta angin kencang.

    Sehubungan itu, pihak jabatan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit jabatan iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook, Instagram dan saluran YouTube BruneiWeather.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...