Brunei mula berpuasa esok

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dengan ini memaklumkan bahawa ketetapan 1 Ramadan 1441 Hijrah akan jatuh pada hari Sabtu bersamaan dengan 25 April 2020 Masihi.

Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Yang Dipertua MUIB setelah bersidang di Bilik Mesyuarat Menteri Hal Ehwal Ugama petang tadi mengenai hasil merukyah anak bulan Ramadan 1441 Hijrah.

Persidangan tersebut turut dihadiri oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Haji Bahrin bin Haji Alias.

Acara merukyah awal bulan Ramadan dikendalikan oleh hakim dari Mahkamah Syariah bersama para pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pejabat Mufti Kerajaan dan juga Jabatan Ukur.

Semasa acara merukyah berkenaan, penglihatan anak bulan Ramadan tidak berjaya dilihat oleh para pegawai yang hadir di tempat-tempat penglihatan anak bulan Ramadan di Menara DST, Bukit Agok dan Tanjung Batu, Pekan Muara di Daerah Brunei dan Muara, Bukit Ambog di Daerah Tutong dan di Bukit Lumut, Daerah Belait.

Hadir pada acara yang diadakan di Menara DST ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Hasil Merukyah Awal Bulan Ramadan 1441 Hijrah itu juga diumumkan secara langsung melalui Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri, di mana umat Islam di negara ini akan mula menunaikan ibadat puasa serta sembahyang Sunat Tarawih dan bertadarus membaca Al-Quran di rumah masing-masing bersama keluarga.

Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke (kiri) ketika menyaksikan paparan visual bagi penglihatan anak bulan Ramadan menerusi skrin daripada teleskop. – Gambar oleh Aziz Idris
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie dan timbalan menteri hal ehwal ugama semasa bersidang mengenai hasil merukyah anak bulan Ramadan 1441 Hijrah, kelmarin.