Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei -Umat Islam di Negara Brunei Darussalam akan mula berpuasa pada Selasa, 1 Ramadan 1440 Hijrah bersamaan 7 Mei 2019M.
Perkara tersebut telah dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, setelah bersidang dan mendapat kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Persidangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Menteri Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar. Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Hadir sama ialah Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Seri Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.
Hakim-hakim syar’ie dan pegawai-pegawai mahkamah-mahkamah syariah, Jabatan Kehakiman Negara, JPM bersama pegawai-pegawai dari KHEU, pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, JPM telah berada di lima lokasi yang telah ditetapkan untuk merukyah, melihat anak bulan Ramadan 1440 Hijrah.
Lokasi tersebut ialah Menara DST, Bangunan Ibu Pejabat DST, Lebuh raya Tungku, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Tanjung Batu, Pekan Muara, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait dan Bukit Amboq, Daerah Tutong.
Terdahulu itu, Acara Keagamaan Bagi Menunggu Hasil Usaha Rukyah Awal Bulan Ramadan 1440 Hijrah telah berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Baharu, KHEU, Jalan Dewan Majlis, Negara Brunei Darussalam.
Hadir bagi menyerikan majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim dan Pengiran Dato Paduka Seri Haji Bahrom.
Acara tersebut dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1440M/2019M yang lalu dan diselajurkan dengan bacaan Sayyidul Istighfar oleh Haji Muhammad Albi bin Haji Ibrahim.
Manakala bacaan Tahlil dan Doa Arwah oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Mohamed Bolkiah, Kampong Serusop, Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman seterusnya mengimamkan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah.
Azan Maghrib dikumandangkan oleh Bilal Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba, Haji Sudirman bin Haji Metussin.
Hasil merukyah awal bulan Ramadan pada petang tadi diumumkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei yang mana anak bulan Ramadan telah tidak sabit kelihatan.
Sehubungan itu, awal Ramadan 1440 Hijrah jatuh pada 7 Mei dan sembahyang tarawih dan witir serta bertadarus Al-Quran di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara akan bermula pada malam esok, 6 Mei selepas sembahyang sunat tarawih.