Brunei MYCE 2022 atur pelbagai tema setiap minggu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (MYCE 2022) merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) sebagai sebuah platform yang mengumpulkan pemimpin industri dan pakar-pakar utama untuk menangani isu-isu signifikan, menyediakan penyelesaian yang boleh dilaksanakan dan menggabungkan komuniti daripada pelbagai sektor industri.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penandatanganan Per-janjian Penaja dan Rakan Kongsi bagi MYCE telah berlangsung di Dewan Serba guna, D’Sunlit Sdn Bhd, hari ini. Menandatangani bagi pihak D’Sunlit Sdn Bhd selaku pengendali MYCE 2022 ialah Pengarah D’Sunlit, Dato Haji Danial bin Haji Hanafiah dan disaksikan oleh Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP, Awang Muhammad Nazmi bin Mahali.

Bagi penaja eksklusif Single Cluster iaitu NBT (B) Sdn Bhd pula diwakili oleh Pengurus Pemasaran, Audrey Yong; penaja Pakej Perak, Swee Wah Enterprise diwakili oleh Chan Thian Poh; rakan kongsi media, Brunei Press Sdn Bhd diwakili oleh Pengurus Besar, Mohd Najmuddin bin Abdul Razak; rakan kongsi Telco DST diwakili oleh Naib Presiden Pemasaran, Hajah Safrina PD Haji Abdul Rahman; pembekal perkhidmatan CCTV, Oregon Systems diwakili oleh Miss Ang; serta pembekal air mineral rasmi, IBIC Sdn Bhd (Sehat) diwakili oleh Ketua Operasi, Atang Djunaedi.

Penaja dan rakan-rakan kongsi lain ialah penaja Pakej Gangsa iaitu Ezy Printing Services & Trading; rakan kongsi media rasmi, Pelita Brunei; rakan kongsi media rasmi, Radio Televisyen Brunei (RTB) serta pembekal pakaian rasmi, Aewon Garment & Embroidery Sdn Bhd.

Tema MYCE 2022 adalah, Inclusive, Resilient and Sustainable Economic Growth-Brunei Darussalam Perspective di mana ia merupakan acara selama lima minggu yang diisi dengan aktiviti-aktiviti pendidikan dan persidangan serta pameran daripada pemimpin industri.

Setiap minggu ia meliputi kluster tema yang berbeza iaitu Minggu Islamik bermula 1 hingga 4 Jun, Minggu Teknologi Digital bermula 8 hingga 11 Jun, Minggu Tenaga bermula 15 hingga 18 Jun, Minggu Perubahan Iklim bermula 22 hingga 26 Jun dan Minggu Ekonomi bermula 28 Jun hingga 2 Julai.

MYCE 2022 dijadualkan berlangsung dari 1 Jun hingga 2 Julai di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dan akan diisikan dengan pelbagai aktiviti interaktif, persidangan, seminar dan lebih banyak aktiviti-aktiviti yang menarik.

Dato Haji Danial bergambar ramai dengan para penaja. – Gambar oleh Muiz Matdani