Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Brunei MYCE 2022 bermula 1 Jun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Brunei MYCE 2022) akan diadakan selama lima minggu bermula 1 Jun hingga 2 Julai di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Brunei MYCE 2022 dianjurkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), di mana ia merupakan tahun kedua ia dianjurkan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan institusi-institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam.

    Sehubungan dengan itu, sidang media bagi mengongsi maklumat acara Brunei MYCE 2022 telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab selaku setiausaha bersama Jawatankuasa Brunei MYCE 2022 yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, hari ini.

    Turut hadir di sesi sidang media berkenaan ialah setiausaha-setiausaha bersama Jawatankuasa Brunei MYCE 2022 yang terdiri daripada rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), setiausaha tetap Kementerian Pembangunan, setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), setiausaha tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, naib canselor Universiti Teknologi Brunei, timbalan setiausaha tetap Kementerian Tenaga, wakil Syarikat D’Sunlit Sdn Bhd dan beberapa pegawai kanan daripada agensi-agensi lain yang terlibat.

    Semasa sidang media berkenaan, Hajah Tutiaty menyatakan bahawa Brunei MYCE memfokuskan kepada acara-acara persidangan dan pameran yang menghimpunkan pakar-pakar dan pemain-pemain utama dari dalam dan luar negara dalam bidang-bidang tertentu.

    Hajah Tutiaty ketika mempengerusikan sidang media Brunei MYCE 2022 yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, kelmarin.

    “Ia adalah salah satu inisiatif bagi mencapai matlamat strategik JKP, KSSUP untuk menarik pasaran pelancongan MICE (Meetings, In-centives, Conferences and Events) khususnya business travellers ke Negara Brunei Darussalam,” tambahnya.

    Beliau seterusnya menerangkan bahawa objektif utama Brunei MYCE 2022 ialah untuk menggalakkan perkongsian ilmu, percambahan fikiran, pemberi-gaan penemuan-penemuan baharu dalam pelbagai bidang dan peningkatan aktiviti networking dan perniagaan di kalangan para ilmuwan dan para pengusaha dari dalam dan luar negara, yang mana diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

    “Melalui penglibatan pembentang dan peserta dari dalam dan luar negara, maka inisiatif ini adalah selaras dengan visi JKP, iaitu untuk meningkatkan jumlah pelancong dan menyumbang kepada pertumbuhan aktiviti-aktiviti perekonomian termasuk perhotelan, penerbangan, restoran, pengangkutan dan seumpamanya.” jelas Hajah Tutiaty lagi.

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa Brunei MYCE 2022 membawa tema Inclusive, Resilient and Sustainable Economic Growth – Brunei Darussalam Perspective di mana acara-acara persidangan dan pameran akan berkisar dengan lima kluster utama iaitu Islamik, Teknologi Digital, Tenaga, Perubahan Iklim dan Ekonomi.

    Sementara itu, antara pengisian yang telah dirancang bagi acara persidangan dan seminar setakat ini adalah Persidangan Mengenai Waqaf: Merealisasikan Perlaksanaan dan Pengurusan Waqaf Secara Komprehensif di Negara Brunei Darussalam, anjuran KHEU, International Seminar on Halal Tourism and Hospitality (ISHTaH 2022), anjuran UNISSA, Brunei Darussalam Syariah Advisory Conference 2022: Syariah Governance Framework: Quality VS Compliance, anjuran Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) melalui Brunei Institute of Leadership and Islamic Finance (BILIF), Brunei Darussalam Conference on Digital Technology: Towards A Transformed New Norm; anjuran Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Hybrid International Conference on Current Trends of Islamic Technology in Research and Innovation, anjuran UNISSA, Seminar dan simposium berkaitan Oil and Gas Upstream and Downstream dan Renewable Energy, anjuran Kementerian Tenaga dan Brunei Shell Joint Ventures (BSJC), Conference on Climate Change, anjuran bersama Kementerian Pembangunan melalui Sekretariat Perubahan Iklim Brunei Darussalam (BCCS), Kementerian Tenaga dan Universiti Brunei Darussalam (UBD), Seminar dan simposium bertemakan Ke Arah Ekonomi yang Dinamik dan Berdayatahan, anjuran Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Forum Ekonomi Islam, anjuran UNISSA serta Borneo International Conference on Agrotechnology, anjuran Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Selain itu, akan turut diadakan acara pameran sempena Brunei MYCE 2022 yang akan dikendalikan oleh Syarikat D’Sunlit Sdn Bhd dimana pameran itu juga akan mempunyai konsep yang berbeza pada setiap minggu dan menawarkan pelbagai program dan aktiviti menarik untuk pengunjung.

    Acara Brunei MYCE 2022 dianjurkan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaaan dan swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa universiti dan institusi-institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara.

    Acara itu juga disokong oleh Syarikat Datastream Digital (DST) Sdn Bhd selaku rakan rasmi telco bagi Brunei MYCE 2022.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...