Oleh Azlan Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Negara Brunei Darussalam menunjukkan peningkatan ketara dalam Indeks Kemudahan Mendapatkan Kredit di bawah petunjuk kecekapan pasaran dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2018, yang dikeluarkan oleh Cornell, INSEAD dan Organisasi Harta Intelek Sedunia (WIPO), baru-baru ini dengan peningkatan yang begitu membanggakan dari tempat ke-55 tahun lepas kepada tempat kedua dunia tahun ini.
Selain itu, Brunei juga mengekalkan kedudukan pertama dalam Petunjuk Institusi terutama dalam kos pemberhentian lebihan pekerja (ukuran daripada jumlah tempoh notis dan pemutusan pemberhentian lebihan dalam gaji mingguan, purata bagi pekerja dengan tempoh satu, lima dan 10 tahun dengan minimum nilai ambang lapan minggu), di mana ia menduduki tempat pertama di dunia.
Menurut Indeks GII itu lagi, Brunei adalah negara kesembilan paling inovatif daripada negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Di peringkat global pula, ia melonjak dari tempat ke-71 tahun lepas ke tempat ke-67 dalam ranking GII tahun ini dengan lima negara teratas tahun ini adalah Switzerland, Belanda, Sweden, United Kingdom dan Singapura.
Negara Brunei Darussalam juga menonjol dalam petunjuk lain seperti dalam kadar penggunaan tarif (tempat keempat); kestabilan dan keselamatan politik (tempat keenam); graduan dalam sains dan kejuruteraan (kelapan); peratusan KDNK (tempat kesembilan).
Walau bagaimanapun, lebih banyak yang perlu dilakukan dalam indeks lain contohnya tanda dagangan asal (tempat ke-118); kesan pengetahuan (ke-118); import perkhidmatan ICT (ke-115); reka bentuk asal perindustrian (ke-111); skala pasaran domestik (ke-108) dan E-penyertaan (ke-101). Malaysia, UAE dan Turki merupakan tiga negara peneraju inovasi OIC. GII menggabungkan keupayaan inovasi ekonomi dan menghasilkan semua petunjuk utama institusi, modal insan dan penyelidikan, infrastruktur, kecanggihan pasaran, kecanggihan perniagaan, pengetahuan dan teknologi serta output kreatif. GII 2018 melibatkan 126 ekonomi, di mana 36 daripadanya adalah negara anggota OIC.
Dalam edisi ke-11, GII merupakan alat kuantitatif terperinci yang membantu pembuat keputusan global untuk memahami dengan lebih baik bagaimana merangsang aktiviti inovatif untuk memacu pembangunan ekonomi dan manusia. GII 126 ekonomi itu berdasarkan 80 petunjuk daripada kadar pemfailan harta intelektual sehinggalah kepada penciptaan aplikasi mudah alih, perbelanjaan pendidikan dan penerbitan saintifik serta teknikal. Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam terus meningkatkan ranking mereka mendekati kuasa serantau seperti China, Jepun, Singapura dan Korea Selatan.
“Seiring dengan masa, beberapa ekonomi sedang pesat membangun sebagai penggerak dan penggemar sebenar landskap inovasi,” kata mantan Dekan dan Profesor Pengurusan di Cornell University, Soumitra Dutta.
“Selain China yang sudah berada di kedudukan 25 teratas, ekonomi berpendapatan sederhana yang paling dekat dengan kumpulan 25 teratas tersebut ialah Malaysia. Kes-kes lain yang menarik ialah India, Iran, Mexico, Thailand dan Vietnam yang konsisten meningkatkan kedudukan mereka.” Tahun ini, semua ekonomi di rantau Asia Tenggara, Asia Timur dan Oceania berada dalam kedudukan 100 teratas GII. Di rantau ini, Singapura (5), Korea Selatan (12) dan Jepun (13) menduduki ranking tertinggi.
Singapura mengekalkan tempat pertama dalam petunjuk keberkesanan kerajaan, kualiti pengawalseliaan dan aliran keluar pelaburan langsung asing. Selain itu, ia juga adalah pelopor terbaik dalam kestabilan dan keselamatan politik, permodalan pasaran, aliran masuk pelaburan langsung asing dan eksport pembuatan teknologi tinggi. Jepun menduduki tempat pertama dalam beberapa petunjuk seperti perbelanjaan domestik kasar dalam penyelidikan dan pembangunan yang dibiayai oleh perniagaan, keluarga paten dalam dua atau lebih jabatan dan penerimaan harta intelektual.
Korea Selatan pula mengekalkan kedudukan teratas dalam aplikasi paten asal dan pelbagai petunjuk mengukur usaha penyelidikan dan pembangunan (perbelanjaan domestik kasar penyelidikan dan pembangunan, penyelidikan dan pembangunan yang dibiayai dan dilaksanakan oleh perniagaan dan bakat penyelidikan dalam perusahaan perniagaan).
Selain itu, Korea Selatan juga mengekalkan tempat pertama dalam reka bentuk asal perindustrian dan nilai eksport bersih teknologi tinggi. Ia juga berada di tangga kelapan dalam petunjuk penciptaan aplikasi mudah alih yang baru diperkenalkan.