Brunei, Oman bincang kerjasama, amalan terbaik

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Seminar Bersama Brunei-Oman ke-3 telah membuka tirainya, hari ini di Bangunan Jabatan Perdana Menteri dengan membawa tema ‘Brunei and Oman Partnership: Strengthening Cooperation Towards Enhancing Resilience’.

Seminar yang berlangsung selama dua hari hingga esok itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian dan Kementerian Minyak dan Gas Kesultanan Oman dengan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan, profesional dan pengendali dari industri kedua-dua buah negara.

Hadir pada majlis pembukaan seminar berkenaan ialah Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein dan Menteri Minyak dan Gas Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Dr Mohammed bin Hamad Al-Rumhy.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Setiausaha Tetap (Tenaga), Haji Azhar bin Haji Yahya; Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia), Haji Zolkiflee bin Haji Abdul Karim; Setiausaha Tetap (Industri), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Industri), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Tenaga Manusia), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil bin Rashid Al-Maskari.

Seminar berkenaan berobjektif untuk memudahkan pertukaran maklumat dan amalan terbaik antara Brunei dan Oman serta membolehkan kedua-dua pihak meneroka kerjasama dua hala dalam beberapa bidang termasuk peluang huluan dan hiliran dalam sektor berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny ketika menyaksikan pameran.

Antara yang dibincangkan termasuk peluang-peluang kerjasama bersama, termasuk nilai dalam negara dan tenaga manusia, dalam industri, kerjasama huluan dan hiliran minyak dan gas serta daya pemulihan dari segi transformasi sektor demi keselamatan tenaga bagi jangka masa panjang berdasarkan peralihan tenaga global.

Dalam ucapan mereka, kedua-dua menteri bersetuju bahawa terdapat banyak peluang berpotensi yang boleh diteroka kedua-dua buah negara dan menyatakan harapan mereka bahawa seminar berkenaan akan menggalakkan lagi dialog, pertukaran maklumat dan amalan-amalan terbaik serta meningkatkan kerjasama dalam industri minyak dan gas.

Seminar berkenaan merangkumi tiga sesi, mengikut tajuk ‘Nilai dalam Negara’ (ICV), kerjasama huluan dan hiliran serta tenaga manusia. Sesi pertama memberi tumpuan kepada inisiatif ICV dan pelaksanaannya dalam sektor minyak dan gas Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman.

ICV sedang diamalkan oleh kedua-dua negara sebagai satu cara untuk menggalakkan pengeluaran berputar kepada ekonomi tempatan melalui penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan dan pengambilan pekerja tempatan.

Pada sesi kedua, perwakilan dari kedua-dua membincangkan mengenai pembangunan dalam sektor huluan dan hiliran tenaga. Semasa sesi ini, potensi kerjasama dan peluang dalam industri hiliran tenaga antara kedua-dua buah negara telah dibincangkan.