Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Kesultanan Oman dan Negara Brunei Darussalam bakal meluaskan dan mengembangkan kerjasama dalam bidang pendidikan dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai semasa Forum Pendidikan di Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini.
Menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Kesultanan Oman diwakili oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hasil Al-Maskari.
Yang Berhormat Datin dalam ucapannya semasa forum itu, yang diadakan sebagai siri acara Dialog Kerjasama Kesultanan Oman dan Negara Brunei Darussalam yang julung kali diadakan, melahirkan harapan bahawa melalui MoU berkenaan, kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman akan lebih mendalam dan subur melalui pelbagai aktiviti yang telah dirancang.
“Saya tidak meragui bahawa program seperti pertukaran di peringkat pelajar dan akademik serta kerjasama penyelidikan akan membuka lebih banyak peluang untuk berkongsi kepakaran, pengetahuan dan pengalaman yang mana akan memberi manfaat kepada kedua belah pihak,” tekannya.
Yang Berhormat Datin juga menantikan perbincangan panel mengenai ‘Transformasi Kerjasama Antarabangsa dalam Era Digital’ yang sangat relevan memandangkan cabaran yang dibawa oleh COVID-19, khusus mengenai pendigitalan dalam pendidikan tinggi.
Justeru, beliau merasa wajar bagi UBD dan Kedutaan Kesultanan Oman menganjurkan dialog yang pertama kali diadakan di mana kita boleh belajar daripada pengalaman masing-masing.
TYT Sheikh Ahmed dalam ucapan alu-aluannya pula berkata, Forum Pendidikan itu bertujuan untuk memberikan penerangan tentang peluang memajukan lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara khususnya dalam bidang pendidikan.
Forum yang dikendalikan oleh UBD dengan penyelarasan dengan Kedutaan Kesultanan Oman, Universiti Sultan Qaboos dan Universiti Nizwa itu juga akan menjadi platform yang sesuai untuk universiti-universiti berkenaan meneroka cara yang lebih inovatif untuk mengukuhkan lagi kerjasama akademik dan penyelidikan.
Dalam hal itu, tambah beliau, forum berkenaan antara lain menumpukan untuk mempromosikan Kesultanan Oman dan Brunei Darussalam sebagai destinasi yang menarik dan boleh dipercayai bagi mendapatkan pendidikan yang lebih baik dan berkualiti dengan persekitaran aman dan tenang, yang konduktif untuk pembelajaran, pencapaian akademik dengan tambahan infrastruktur penyelidikan yang cemerlang dan ahli akademi berwibawa yang ditawarkan oleh universiti dan institut pengajian tinggi kedua-dua negara.
Forum berkenaan juga menampilkan segmen di mana pelajar Brunei dan Oman berkongsi pandangan dan pe-ngalaman mereka belajar di universiti dan institut pengajian tinggi terpilih di kedua-dua buah negara sejak beberapa tahun lalu, termasuk program pertukaran pelajar antara Kesultanan Oman dan Brunei Darussalam.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Penyelidikan dan Inovasi Kesultanan Oman, Puan Yang Terutama Dr Rahma binti Ibrahim, setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan, pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan serta para jemputan khas.