Brunei peringati Hari AIDS Sedunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Negara Brunei Darussalam, hari ini, menyertai masyarakat dunia bagi memperingati Hari AIDS Sedunia di mana tema pada tahun ini ialah ‘Tamatkan Ketidaksamaan. Tamatkan AIDS. Tamatkan Pandemik’.

“Dalam kita sedang memfokuskan segala usaha dan tenaga untuk mengawal penularan pandemik COVID-19, kita seharusnya tidak lupa dengan ancaman jangkitan-jangkitan lain seperti jangkitan HIV dan AIDS dan kesan COVID-19 terhadap jangkitan-jangkitan itu”.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, orang-orang yang hidup dengan HIV adalah lebih mudah mendapat kesan jangkitan yang teruk akibat jangkitan COVID-19.

“Oleh itu, adalah penting bagi mereka yang mempunyai cara hidup yang berisiko bagi jangkitan HIV untuk mendapatkan ujian bagi mengetahui status jangkitan HIV dan mendapatkan vaksinasi COVID-19 bagi melindungi diri sendiri dan keluarga,” jelas Yang Berhormat Dato.

Di hujung kenyataannya, beliau menyeru orang ramai untuk saling mengingati dan sama-sama bertanggungjawab terhadap kesihatan diri untuk kesejahteraan bersama.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani.