Brunei perlukan 2.5% untuk capai Fasa Endemik

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Seramai 5,609 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di seluruh Negara Brunei Darussalam kelmarin, sekali gus membawa jumlah penduduk yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan kepada 401,091 orang iaitu 93.3 peratus daripada jumlah penduduk negara.

“Manakala, 333,144 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 77.5 peratus daripada jumlah penduduk negara,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

Dengan yang demikian, negara kini cuma memerlukan 2.5 peratus untuk mencapai 80 peratus jumlah penduduk negara yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19, sebelum negara beralih daripada Fasa Peralihan ke Fasa Endemik yang tarikhnya akan diumumkan nanti, tambah beliau semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam kini mencatatkan sebanyak 734,235 jumlah pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi berbanding daerah-daerah lain iaitu sebanyak 472,194 pemberian dos, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 97,329, Daerah Tutong sebanyak 85,196 dan Daerah Temburong sebanyak 79,516.