Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Syarikat Brunei Press Sdn Bhd tidak ketinggalan memeriahkan bulan Syawal dengan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk kakitangannya di Restoran Millennium, Beribi, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF, Albert Lau; Pengarah (Bukan Eksekutif) Brunei Press Sdn Bhd, Dato Yusoff Abdul Hamid dan isteri, Datin Mahani; Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Reggie See; warga pengurusan kanan Brunei Press Sdn Bhd dan Kumpulan QAF.
Reggie See dalam ucapan alu-aluannya menyentuh mengenai dua aktiviti yang diadakan oleh Syarikat Brunei Press Sdn Bhd baru-baru ini, iaitu kempen kualiti Brunei Press 2018/2019 dan peningkatan akhbar digital.








Beliau menyatakan bahawa kempen kualiti telah mula diperkenalkan pada 1999 dan tahun ini slogan bagi kempen tersebut adalah ‘When in Doubt Check it Out’ (Bila Ragu, Teliti Semula) yang diharap akan sentiasa mengingatkan warga kerja untuk sentiasa meneliti kerja masing-masing bagi mengelakkan kesilapan.
Di samping itu, Borneo Bulletin dan Media Permata juga telah menambah baik laman sesawang dan edisi digitalnya untuk akses yang lebih mudah bagi para pembaca dengan langganan dalam talian yang mana boleh diakses pada bila-bila masa sahaja.
Acara tahunan ini mengumpulkan semua warga kerja dari jabatan-jabatan di bawah Brunei Press Sdn Bhd untuk sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri sambil beramah mesra sekali gus merapatkan lagi hubungan sesama kakitangan.

































