Oleh Imelda Groves HA
Gambar oleh Dean Kassim
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Dalam sama-sama memeriahkan suasana Aidilfitri di negara ini, Syarikat Brunei Press Sdn Bhd turut tidak ketinggalan untuk mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk warga kerjanya yang berlangsung di Restoran Millennium, Beribi, di sini, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif QAF Group, Albert Lau; Pengarah (Bukan Eksekutif) Brunei Press Sdn Bhd, Dato Yusoff Abdul Hamid dan isteri, Datin Mahani; Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Reggie See; pihak pengurusan kanan dari Brunei Press Sdn Bhd dan QAF Group.
Reggie See dalam ucapan alu-aluannya memuji kerja keras semua warga kerjanya di sepanjang pertengahan tahun untuk mencapai sasaran walaupun menempuhi cabaran ekonomi.
“Pencapaian syarikat mendemonstrasikan sinergi semua warga kerja. Usaha kolektif bahagian iklan, perkhidmatan percetakan komersial, editorial, produksi akhbar, mailroom dan jabatan peredaran perlu dipuji,” jelasnya.
Menurut beliau, tahun ini akan terus mencabar dan warga kerja perlu berusaha dengan gigih untuk memastikan kemapanan untuk syarikat dan pekerjaan yang berguna untuk semua orang.


“Kita mesti sentiasa menegakkan nilai korporat-komitmen, integriti dan kepercayaan dan untuk mencapai kualiti optimum sebagai penerbit dan pencetak terkemuka di Negara Brunei Darussalam,” ujarnya.
Beliau seterusnya menekankan kepentingan agar kakitangan sentiasa sihat dalam mencapai matlamat korporat syarikat.
Brunei Press sangat aktif menyokong Kementerian Kesihatan dalam mempromosikan cara hidup sihat untuk negara dengan mesej kesihatan yang sering diterbitkan dalam Borneo Bulletin dan Media Permata, katanya.
“Pekerja yang sihat akan lebih efisien dan produktif. Pekerja yang sihat jarang mengambil cuti sakit. Ketidakhadiran yang kurang adalah bagi pekerja yang sihat dan sering bersukan. Ia juga mengurangkan harga penjagaan kesihatan dan mengurangkan masa kerja yang terganggu,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, kesihatan yang baik adalah satu kejayaan, seorang pekerja yang sihat tidak akan tertekan atau membebankan diri atau keluarga masing-masing dengan penjagaan perubatan, rawatan dan perhatian.
Acara tahunan ini mengumpulkan semua warga kerja dari jabatan-jabatan di bawah Brunei Press Sdn Bhd untuk sama-sama menikmati Sambutan Hari Raya Aidilfitri sambil beramah mesra sekali gus merapatkan lagi hubungan sesama kakitangan.