Brunei puasa Khamis ini

Oleh Syahmi Hassan & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Setelah mendapat kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam mengisytiharkan umat Islam di negara ini akan menyambut 1 Ramadan 1439H pada hari Khamis ini bersamaan dengan 17 Mei 2018M.

Turut sama hadir pada persidangan di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) petang tadi ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Hakim-hakim Syar’ie dan pegawai Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama pegawai dari KHEU, pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan telah berada di lima lokasi yang telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Ramadan 1439H.

Lokasi merukyah anak bulan Ramadan ialah Menara DST di Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Tanjung Batu, Pekan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait dan Bukit Amboq, Daerah Tutong.

Turut sama hadir di Menara DST ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Menteri Pembangunan semasa hadir di Bangunan Ibu Pejabat DST bagi sama-sama merukyah anak bulan Ramadan.