Brunei rai Earth Hour

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Dalam memberi kesedaran secara berterusan mengenai alam semula jadi dan persekitaran, Tabung Perlindungan Hidupan Liar Sedunia (WWF) sekali lagi telah menghimpunkan berjuta-juta orang di seluruh dunia bagi meraikan Earth Hour, yang berlangsung semalam bermula jam 8:30 malam.

Di negara ini Earth Hour menumpukan pada perubahan iklim dan biodiversiti, secara khususnya tertumpu pada hutan dan tindakan iklim.

Pengurus Earth Hour di negara ini, Awang Mohd Rimey berkata “Biodiversiti adalah asas bagi kesuburan hutan, sungai dan laut. Jika ia musnah, maka semua ekosistem itu akan turut musnah bersama udara bersih, air, makanan dan iklim yang dibekalkan kepada manusia.”

Tahun ini, Earth Hour telah pun diadakan di Taman Mahkota Jubli Emas sebagai lokasi tumpuan, di mana beberapa lokasi seperti Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien turut terbabit bagi mewakili Negara Brunei Darussalam bersama-sama dengan mercu tanda lain di seluruh dunia.

Menurutnya lagi, sejak 2007, Earth Hour telah membantu tindakan ke atas iklim. Kini sudah tiba masanya untuk melakukan yang sama bagi alam semula jadi dan biodiversiti, yang seiring dengan matlamat yang sudah ditetapkan bagi tindakan iklim dan pembangunan mapan.

Manakala mercu-mercu tanda yang menjadi tumpuan di seluruh dunia antaranya adalah Menara Eiffel, Stadium Bird’s Nest dan Burj Khalifa. Sementara itu individu-individu, perusahaan dan kerajaan di seluruh dunia juga digesa bertindak bagi membuat perbincangan dan mencari jalan penyelesaian yang diperlukan bagi masa depan yang sihat dan mapan untuk semua.

Sebagai tambahan, WWF menjemput orang ramai di seluruh dunia untuk mengekspresikan kepentingan alam semula jadi di tempat mereka tinggal melalui #connect2earth.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah WWF Antarabangsa, Marco Lambertini berkata “Alam semula jadi semakin berkurang pada tahap yang membimbangkan dan menghentikannya adalah sangat penting sama seperti menangani perubahan iklim.”