Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Kontinjen Sepak Takraw Brunei Darussalam yang menyertai Temasya Sukan Asia Tenggara ke-29 Kuala Lumpur, meraih pingat gangsa kedua negara di Stadium Tertutup Titiwangsa Kuala Lumpur semalam.
Pasukan sepak takraw Brunei Darussalam yang menyertai Kategori Chinlone Non-Repetition Primary berjaya menyandang tempat ketiga bersama pasukan Kemboja setelah tewas di tangan pasukan Thailand, yang kemudian berjaya meraih pingat emas dan Malaysia pula akur meraih pingat perak.
Pasukan negara yang menyertai kategori ini diwakili oleh Abdul Hadi Saidin, Abdul Mu’iz Nordin, Humaidi Brahim, Ismail Ang, Jamaluddin Haji Mazri, Mohammad Hafizuddin Jamaluddin, Muhammad Basyiruddin Haji Kamis dan Muhammad Azri Abdul Harith.
Pasukan negara dibimbing oleh jurulatih Rawat Parbchompoo dengan bantuan penolong jurulatih, Japar Wali dan hari ini turut menyaksikan perlawanan pertama dalam acara Regu Berpasukan Lelaki menentang pasukan Malaysia.
Perlawanan yang berlangsung di sebelah pagi hari ini itu menyaksikan pasukan negara diwakili oleh barisan pemain yang turut menyertai acara Chinlone selain tambahan pemain antaranya Mohammad Selamat bin Yakup, Mohammad Shahrine bin Bubin, Mohd Alliffuddin Jamaludin dan Nur Alimin bin Sungoh.
Pada set pertama perlawanan pertama hari ini, pasukan negara tewas di tangan tuan rumah dengan mata 21-9 dan 21-10 pada set kedua, manakala pada perlawanan kedua, pasukan negara juga tewas 21-5, 21-7. Pada perlawanan terakhir, pasukan Brunei tewas dengan mata 21-12, 21-16 menjadikan mata penuh 3-0 di pihak tuan rumah.
Malam hari ini pasukan Brunei Darussalam sekali lagi akan turun ke gelanggang dalam acara Regu Berpasukan.