Oleh Fadhil Yunus
KUALA LUMPUR, 16 SEPT – Negara Brunei Darussalam menyambut baik kejayaan bintang baharu negara selepas Dayang Farhah Syahirah binti Mohd Shamrin berjaya memenangi pingat perak dalam acara kata individu wanita Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kompleks Sukan UiTM semalam.
Atlet negara mencatatkan jumlah 24.94 mata apabila lawannya Lim Hui Ling dari Pulau Pinang, meraih pingat emas dengan catatan 25.68 mata.
Ia merupakan persembahan yang baik ditunjukkan oleh kontinjen karate dengan negara berjaya meraih pingat gangsa dalam acara kata berpasukan lelaki kelmarin.
Trio karate, Khairul Syafiq bin Khairul Ariffin, Awangku Ahmad Munib Aiman bin Pengiran Haji Mohd Hasimudin dan Awang Muhammad Nazirul bin Haji Johar menewaskan pasukan Johor dengan kutipan 24.22 mata pada pusingan kedua.

Pasukan Brunei sebelum ini mengumpul sebanyak 22.08 mata pada pusingan awal di belakang Pahang dan Pulau Pinang.
Pesaing tunggal Brunei Mohd Harith bin Dahlan terlepas peluang memenangi pingat gangsa berikutan kekalahan 4-1 dalam perlawanan repechage menentang Sivanesan Geerijaieswaran Pillai dari Pulau Pinang dalam acara kumite individu lelaki bawah 60kg.
Dia memulakan kempennya dengan kemenangan 5-3 ke atas Ramesh Pravin dari Kedah sebelum tewas 2-0 kepada Vijaya Kumar Kueggen dari Wilayah Persekutuan pada pusingan kedua meletakkannya di playoff untuk gangsa.
Sementara itu, Muhammad Ameerul Kamil bin Abidin mara ke pusingan kedua kata individu lelaki selepas mencatat sebanyak 21.88 mata pada pusingan awal.
Manakala dalam acara kumite individu bawah 50kg wanita, Dayangku Widad Aiman binti Pengiran Haji Mohammad Hasimudin tidak berjaya mara ke pusingan seterusnya.