Brunei raih pingat pertama

GOPENG, 12 Sept – Atlet wusyu, Mohammad Adi Salihin menceriakan kontinjen Brunei dengan meraih pingat pertama kilauan perak dalam Kategori Nanquan Lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak di Kolej Matrikulasi Perak di sini.

Mohammad Adi tewas tipis 0.04 mata kepada pemenang pingat emas yang diraih oleh atlet Negeri Sembilan Calvin Lee Wai Leong dengan pungutan 9.54 mata manakala pingat gangsa dimenangi oleh atlet Pulau Pinang Chuah Shangyang dengan 9.48 mata.

Mohammad Adi berkata pengalaman beraksi di Sukan Asia Indonesia 2018 memberikan beliau keyakinan untuk menampilkan persembahan terbaik hari ini meskipun mengakui masih melakukan kesilapan dalam beberapa pergerakan ketika final itu.

“Saya meminati wusyu sejak kecil, dua abang saya merupakan atlet kebangsaan Brunei, saya mengikut jejak mereka. Kepuasan yang saya dapat dalam wusyu ini apabila dapat mempersembahkan pergerakan yang mantap dan kemas terutamanya dari aspek lompatan.

“Saya tidak fikir untuk meraih pingat tetapi hanya mahu menikmati setiap persembahan saya. Selain itu juga saya dapat belajar teknik baharu daripada pesaing di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Mohammad Adi (kiri) bergambar bersama pingat yang diraihnya dalam Kategori Nanquan Lelaki pada SUKMA ke-19 Perak di Kolej Matrikulasi Perak, Malaysia, semalam. – Bernama

Mohammad Adi sudah berkecimpung dalam sukan wusyu sejak 10 tahun lalu membuat penampilan kedua di SUKMA turut berharap dapat mempertahankan pingat perak Kategori Nandao yang akan berlangsung hari ini.

Beliau turut berasa gembira dapat menyumbang pingat pertama buat negaranya dan berharap atlet lain dapat mempamerkan persembahan cemerlang di sini.

Sementara itu, atlet dari Kelantan, Nor Azira Kamarudzaman turut mencuri tumpuan apabila meraih pingat perak bagi acara Nanquan wanita pada penampilan pertamanya di SUKMA kali ini. Menurutnya, beliau mula berjinak-jinak dalam sukan wushu sejak berusia enam tahun itu tidak menyangka dapat meraih pingat kerana mengakui saingan-saingan daripada atlet kebangsaan lebih berpengalaman. – Bernama