Brunei rekod 43 kes baharu, 115 sembuh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan 43 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 14,215 orang, dengan satu kluster baharu dikesan.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media COVID-19 di Dewan Al’-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, terdapat 25 tambahan kes-kes baharu kepada tujuh kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak terdekat dan satu kluster baharu melibatkan kluster kediaman persendirian, Kluster 14125 telah dikesan.

Tiga kluster diisytiharkan tamat selepas 28 hari tiada kes iaitu Kluster HTG Services Sdn Bhd, Kluster 7397 dan Kluster 7777, menjadikan jumlah kluster aktif berkurangan kepada 164 kesemuanya.

“Terdapat 14 kes baru yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan, manakala 115 kes disahkan sembuh, membawa jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh kepada 13,562 orang manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 555 kes,” kata Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan memberikan penjelasan pada sidang media kelmarin.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa empat kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

“Sementara itu, tiga kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambah beliau lagi.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,826 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 560,141 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai untuk bersama bersepadu menyahut seruan dan saranan pihak Kerajaan bagi memulihkan negara daripada penularan wabak COVID-19.

“Semoga Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dilindungi dan dijauhkan dari segala bahaya disebabkan oleh COVID-19,” kata Yang Berhormat Dato.