Brunei rekod 77 kes, 5 kluster baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Sebanyak 77 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam hari ini, menjadikan kes keseluruhan kepada 14,591 orang.

Daripadanya jumlah itu, terdapat tambahan 28 kes baharu kepada lapan kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat beberapa kes positif sebelumnya, kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media situasi COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, terdapat lima kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 28 kes yang merupakan kluster-kluster kediaman, salah satunya ialah Kluster Anirus Enterprise Staff House adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan.

Sementara itu, enam kluster telah diisytiharkan tamat setelah tidak ada kes dikesan dalam 28 hari, iaitu Kluster LDY Engineering Sdn Bhd, Kluster Destiny Jaya Sdn Bhd, Kluster Hasmit Shield Roofing Manufacture Sdn Bhd, Kluster 7266, Kluster 9484 dan Kluster 10850, menjadikan jumlah kluster aktif menurun kepada 153.

Manakala itu, terdapat 21 kes baharu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan, tambahnya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Dalam pada itu, 76 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 14,062 kes manakala jumlah kes aktif sebanyak 431 kes,” tambah Yang Berhormat Dato.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, lima kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

“Sementara itu, tidak ada kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” jelas beliau.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,744 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 586,175 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru masyarakat sama-sama menyahut seruan dan saranan pihak kerajaan bagi memulihkan negara daripada penularan wabak COVID-19.

“Semoga Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dilindungi dan dijauhkan dari segala mara bahaya disebabkan oleh COVID-19,” tambahnya.