Brunei rekod kes tertinggi COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan kes tertinggi jangkitan COVID-19, sebanyak 83 kes yang membawa jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini kepada 723 orang.

Jumlah itu diumumkan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar padaSidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Peningkatan adalah daripada tambahan kes-kes baharu pada kluster-kluster aktif sedia ada iaitu 29 kes bagi Kluster Chung Hua KB, enam kes bagi Kluster 477, empat kes bagi Kluster Imigresen, tiga kes bagi Kluster Champion 7, satu kes bagi Kluster TOTAL dan satu kes bagi Kluster BSP HQ, tambahnya.

“Selain itu, terdapat dua kluster baharu telah dikesan hari ini iaitu Kes 646 dan Kes 652 serta telah dikaitkan dengan Kes 495 yang dilaporkan pada 12 Ogos 2021 dan Kes 618 yang dilaporkan pada 14 Ogos 2021. Kluster ini sekarang dikenali sebagai Kluster 495 (iaitu merujuk kepada kes 495).

“Satu kes baharu iaitu Kes 649 telah dikaitkan dengan Kes 535 yang dilaporkan pada 12 Ogos 2021 dan Kes 616 yang dilaporkan pada 13 Ogos 2021. Kluster ini sekarang dikenali sebagai Kluster 535 (iaitu merujuk kepada kes 535),” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika mengumumkan peningkatan jumlah kes COVID-19 pada sidang media tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

Manakala, terdapat 32 kes yang masih belum diketahui sumber jangkitannya.

Menurut Yang Berhormat Dato, kes-kes dalam kluster-kluster aktif tersebut adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya. Manakala, terdapat empat kes import dicatatkan pada hari ini yang mana kesemuanya telah tiba ke Negara Brunei Darussalam pada 1 Ogos 2021 dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI684 dari Manila.

“Pengesanan kontak bagi semua kes baharu ini masih giat dijalankan. Semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2,” jelas beliau.

Dalam pada itu, menurutnya, tiada kes telah disahkan sembuh di Pusat Pengasingan Kebangsaan membawa kepada jumlah kes yang sembuh kekal sebanyak 330 kes. Ini bermakna terdapat 391 kes aktif telah direkodkan di Negara Brunei Darussalam.

Dalam kes-kes aktif tersebut, dua kes berada dalam keadaan kritikal yang mana kedua-duanya memerlukan bantuan pernafasan dan dua lagi kes di bawah pemantauan rapi di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Manakala, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 2,739 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 172,508 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.