Brunei sahkan kes pertama covid-19

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Negara Brunei Darussalam hari ini mengesan kes pertama koronavirus (COVID-19) yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun melalui ujian awal yang didapati positif menghidap penyakit berkenaan.

Perkara berkenaan diumumkan pada sidang media yang diadakan malam tadi bersama Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar yang berlangsung di Kementerian Kesihatan.

Pesakit tersebut telah pulang ke negara ini pada 3 Mac lalu dari Kuala Lumpur, Malaysia bersama dengan tiga lagi rakannya.

Pada masa ini, pesakit tersebut sedang menerima rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan, Tutong.

Pesakit mula merasa kurang sihat, sakit badan, demam panas, batuk dan selesema pada 7 Mac lalu dan telah mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pada keesokan harinya.

Sebagai salah satu langkah pemantauan, berdasarkan pesakit tersebut mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang terjejas dan menghidapi tanda-tanda jangkitan pernafasan, ujian untuk mengesan jangkitan COVID-19 telah dilaksanakan. Daripada hasil ujian awal tersebut telah mendapati pesakit positif bagi ujian permulaan jangkitan COVID-19. Kementerian Kesihatan pada masa ini masih menunggu hasil ujian pengesahan.

Pada ketika ini, pesakit berada dalam keadaan yang baik dan stabil. Pihak Kementerian Kesihatan telah bertindak segera dengan mengesan dan menghubungi kesemua kontak termasuk ahli keluarga pesakit dan tiga orang rakan yang ikut serta dalam perjalanan bersama pesakit tersebut. Kesemua ahli keluarga yang tinggal serumah bersama pesakit telah diberikan notis untuk menjalani kuarantin selama 14 hari. Kontak-kontak tersebut juga akan menjalani ujian bagi mengesan jangkitan COVID-19. Kementerian Kesihatan akan terus mengekalkan kesiap siagaan yang tinggi dalam mencegah dan mengawal penularan jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dan langkah surveilans dan penilaian risiko (Surveillance and Risk Assessment) bagi mengesan sebarang jangkitan COVID-19 di kalangan masyarakat telah dipertingkatkan dalam dua minggu yang lalu, memandangkan terdapat peningkatan penularan jangkitan di rantau Asia-Pasifik.

Dalam kesempatan ini, Kementerian Kesihatan ingin menyarankan kepada orang ramai untuk tidak merasa cemas dan panik serta terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi; kerap membasuh tangan dengan air yang bersih dan sabun (terutamanya sebelum mengendalikan makanan, sebelum makan, selepas menggunakan tandas, atau selepas batuk atau bersin); memakai penutup muka (mask) jika mempunyai tanda-tanda jangkitan pernafasan seperti batuk atau selesema.

Selain itu, orang ramai juga digesa untuk menutup mulut dengan tisu ketika batuk atau bersin, membuang tisu itu ke dalam tong sampah dengan segera; bersikap bertanggungjawab jika menghidapi tanda-tanda jangkitan pernafasan untuk mendapatkan rawatan dan berehat di rumah serta mengelakkan daripada mengunjungi tempat-tempat awam dan menghadiri acara-acara keramaian.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengumumkan perkara itu pada sidang media berkenaan, kelmarin.