Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Brunei sambut 1 Syawal hari ini

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Negara Brunei Darussalam akan menyambut awal bulan Syawal 1443 Hijrah esok, bersamaan dengan 2 Mei 2022M setelah hasil merukyah anak bulan Syawal di beberapa tempat yang ditetapkan hari ini, telah sabit kelihatan.

    Pengumuman keputusan merukyah telah disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Pengesahan keputusan hasil me-rukyah anak bulan Syawal itu dimaklumkan kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku yang di-pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) oleh ketua hakim syarie, bersama dengan kehadiran ahli-ahli MUIB yang bersidang di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama lewat petang tadi.

    Turut menyaksikan merukyah anak bulan Syawal ialah hakim-hakim syarie dan pegawai-pegawai dari Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri; pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri; pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan di empat lokasi berbeza.

    Terdahulu, acara keagamaan bagi menunggu hasil rukyah awal bulan Syawal 1443 Hijrah telah berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.

    Hadir pada acara tersebut ialah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Acara dimulakan dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh pelajar Pra U2 Syariah di Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah, Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran.

    Bacaan tahlil dan doa arwah dan seterusnya mengimamkan sembahyang fardu Maghrib berjemaah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Azrol Alim bin Haji Zaini.

    Manakala azan Maghrib dikumandangkan oleh Bilal Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang, Awang Razman bin Haji Ramlee.

    Kakitangan yang ditugaskan untuk merukyah anak bulan Syawal semasa berada di salah sebuah lokasi yang telah ditetapkan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...