Brunei sambut Aidilfitri esok

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani dan Aziz Idris

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Negara Brunei Darussalam akan meraikan 1 Syawal 1442H pada Jumaat ini, bersamaan dengan 14 Mei 2021M selepas anak bulan Syawal tidak sabit kelihatan pada majlis merukyah di tapak-tapak utama penglihatan anak bulan di seluruh negara hari ini.

Pengumuman keputusan merukyah telah disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertua Negara Brunei Darussalam.

Dengan keputusan tersebut, menurut hukum syarak, bulan Ramadan tahun ini adalah digenapkan menjadi 30 hari.

Hasil keputusan merukyah anak bulan Syawal di kelima-lima buah lokasi di negara ini telah disahkan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Pengesahan keputusan hasil merukyah anak bulan Syawal telah dimaklumkan kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Yang Di-Pertua MUIB, yang bersidang bersama ahli-ahli MUIB di Bilik Mesyuarat, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan para pegawai dari JPM, Kementerian Pembangunan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta KHEU semasa acara merukyah anak bulan Syawal di Menara DST di Jerudong.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama ahli-ahli MUIB semasa bersidang bagi keputusan hasil merukyah anak bulan Syawal di Bilik Mesyuarat, Bangunan KHEU kelmarin.
Acara merukyah anak bulan yang berlangsung di salah satu lokasi.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, ahli-ahli MUIB terdiri daripada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Ketua Hakim Syarie, Yang Arif/Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Terdahulu, berada di lima buah lokasi ditetapkan untuk merukyah ialah hakim-hakim Syarie dan pegawai-pegawai Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara bersama pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, JPM dan KHEU serta Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.

Hadir menyertai rukyah di Menara DST di Jerudong ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan juga para pegawai dari JPM, Kementerian Pembangunan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta KHEU.

Acara merukyah anak bulan Syawal juga diadakan di Bukit Agok di Daerah Brunei dan Muara, Bukit Ambok di Daerah Tutong dan Bukit Lumut di Daerah Belait.

Acara keagamaan menunggu hasil rukyah anak bulan Syawal juga berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Baharu, KHEU, Jalan Dewan Majlis di ibu negara yang dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Muhd Yusuf Haikal bin Mohd Hashim.

Mengepalai bacaan Tahlil dan Doa Arwah dan seterusnya mengimamkan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Asminan bin Haji Chuchu manakala azan Maghrib dikumandangkan oleh Penolong Pegawai Agama, Awang Mohammad Zharfan bin Haji Ahmad.