Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengadakan majlis Doa Kesyukuran dan membaca Surah Yasin bersempena dengan Sambutan Hari Penerbangan Awam Antarabangsa secara maya, hari ini.
Hadir secara maya di majlis berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan Surah Yasin, Doa Yasin dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), Haji Mohd Ashraf bin Haji Bujang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam, di sini, menyatakan bahawa tema Hari Penerbangan Awam Antarabangsa bagi 2020 sehingga 2023 adalah Advancing Innovation for Global Aviation Development.
Ia adalah mengenai inisiatif Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dalam menghubungkan masyarakat, budaya dan perniagaan merentas benua melalui teknologi dan inovasi bagi mewujudkan pembangunan yang mampan dan lebih berdaya tahan untuk perkembangan dan kepelbagaian ekonomi.
Majlis turut dihadiri secara maya oleh setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pemangku timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, ketua eksekutif, pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta agensi-agensi yang berkepentingan di LTAB.
