Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Negara Brunei Darussalam terus melakar pencapaian penting dalam pelancongan pelayaran apabila negara mencatatkan satu lagi mercu tanda dengan ketibaan kapal pelayaran kedua pada 2024, Norwegian Jewel yang berlangsung di Pelabuhan Muara, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, ketibaan kapal pelayaran kedua menunjukkan komitmen negara untuk menjadi sebuah destinasi pilihan dalam peta pelayaran global khususnya dengan kebangkitan semula pelancongan pelayaran pada 2023.
Kapal Nowegian Jewel telah memulakan pelayaran dari Phu My, Vietnam dan berlabuh di Brunei dengan membawa seramai 2,101 orang penumpang serta 1,027 orang anak kapal.
Para pelancong juga berpeluang menyertai pakej pelancongan mengembara ke tapak-tapak terkenal negara seperti Muzium Alat Kebesaran Diraja, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Istana Nurul Iman dan Kampong Ayer.
Semasa lawatan singkat itu, mereka juga berpeluang bagi menikmati pelbagai juadah makanan dan minuman serta berpeluang untuk mendapatkan cenderamata kenang-kenangan tradisional Brunei.
Menurut salah seorang pelawat, Shelly dari Montana, Amerika Syarikat (AS), lawatan pertamanya ke Negara Brunei Darussalam adalah amat menarik sekali. Beliau telah menyertai pakej lawatan kawasan bakau di mana beliau berpeluang untuk menyaksikan monyet probosis dengan lebih dekat sebelum berkunjung ke Kampong Ayer.
Semasa lawatannya ke Kampong Ayer, Shelly berkata mereka telah disambut dengan mesra oleh kanak-kanak setempat dan berpeluang menyaksikan mereka bermain permainan tradisional.
Sementara itu, seorang lagi penumpang dari Florida, AS, Gayle berpeluang untuk mengadakan lawatan ke tempat-tempat menarik di Brunei termasuk Istana Nurul Iman dan Kampong Ayer di mana beliau amat teruja dengan keindahan Brunei serta berhasrat untuk kembali melawat negara pada masa akan datang.
Christopher Lawson dari United Kingdom yang sebelum ini telah melawat ke Brunei pada 1963 dan 1993, berpeluang untuk melawat persekitaran bandar serta menyaksikan pembangunan yang telah dikecapi sambil menikmati persekitaran yang indah.
Beliau juga menyatakan hasrat untuk kembali ke negara ini dalam masa yang terdekat.
Negara Brunei Darussalam dijadualkan untuk menerima lawatan daripada empat buah kapal pelayaran pada tahun ini di mana sebuah lagi kapal pelayaran iaitu Crystal Symphony, dijadualkan tiba di Brunei pada 10 Mac.
Kehadiran kapal-kapal pelayaran yang berlabuh di Brunei mengetengahkan tarikan negara sebagai salah sebuah destinasi baru muncul dalam dunia perjalanan pelayaran.