Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Brunei sambut pelancong kapal persiaran

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Sektor pelancongan persiaran kembali meriah tahun ini apabila Pusat Kapal Pesiar dijangka akan menerima enam persinggahan kapal persiaran yang akan berlabuh di Pelabuhan Muara.

    Hari ini, pusat tersebut telah mengalu-alukan ketibaan kapal persiaran Oceania Nautica
    yang berlepas dari Cape Town, Afrika Selatan, sebagai tempat asalnya dengan membawa
    kira-kira 800 penumpang termasuk anak kapalnya.

    Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Pelancongan, Brunei juga akan menjangkakan ketibaan kapal persiaran Seventh Seas Mariner pada 5 Mac ini.

    Sektor pelancongan persiaran telah terhenti sejak pelaksanaan sekatan perjalanan COVID-19 pada Mac 2020, dengan kapal persiaran terakhir membuat persinggahannya pada 2020 dengan membawa sejumlah 1,526 penumpang.

    Genting Dream ialah kapal persiaran terakhir yang membuat persinggahan sulungnya ke Brunei pada Julai 2019.

    Ketibaan pelancong dari kapal Oceania Nautica disambut di Pusat Kapal Pesiar di Pelabuhan Muara, kelmarin. Sektor pelancongan persiaran kembali meriah tahun ini apabila Pusat Kapal Pesiar dijangka akan menerima enam persinggahan kapal persiaran yang akan berlabuh di Pelabuhan Muara. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan.
    Pelancong asing mendapatkan maklumat mengenai Brunei.
    Kapal persiaran Oceania Nautica berlabuh di Pusat Kapal Pesiar, Pelabuhan Muara.

    Berdasarkan statistik yang dikumpulkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan antara 2016 dan 2020, terdapat lebih 46,000 penumpang kapal persiaran, dengan jumlah 61 persinggahan pelayaran ke Negara Brunei Darussalam.

    Jumlah penumpang kapal persiaran yang dijangka tahun ini ialah 10,127 orang.

    Jabatan itu juga sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam menyediakan kemudahan lebih baik di Pusat Kapal Pesiar dan rangkaian pengangkutan untuk menyokong pembangunan sektor kapal persiaran.

    Kedatangan pelancong melalui kapal persiaran dijangka menyumbang kepada kebangkitan industri pelancongan di negara ini.

    Salah seorang pelancong dari Perancis, Louisette semasa ditemu bual mengongsikan bahawa beliau berasa teruja kerana berpeluang berkunjung ke Brunei dan melihat penduduk di sini di samping kawasan-kawasan menarik yang ada.

    Beliau juga cukup teruja akan kebersihan di Brunei sehinggakan sukar baginya melihat sampah sarap bersepahan di jalan-jalan raya yang dilaluinya.

    Sementara itu bagi suaminya, Terry dari Jerman, beliau berasa gembira kerana dapat melihat keramahan penduduk di sini yang murah dengan senyuman.

    Beliau banyak mengunjungi negara-negara asing namun keramahan penduduk di negara ini adalah suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

    Menurutnya lagi, semasa sempat bersiar di sini, Brunei merupakan salah sebuah negara yang penduduknya sangat bersopan santun sehinggakan para pengguna jalan sanggup memberhentikan kenderaan bagi memberi laluan kepada mereka untuk menyeberangi jalan sambil tersenyum dan turut melambai-lambaikan tangan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...