Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Brunei sertai 5th Islamic Solidarity Games 2021

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Negara Brunei Darussalam akan menyertai kejohanan 5th Islamic Solidarity Games 2021 yang akan diadakan secara rasminya pada 9 hingga 18 Ogos ini di Konya, Republik Turkiye.

    Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai tiga orang yang terdiri daripada seorang atlet dan dua orang pegawai termasuk chef de mission dan jurulatih.

    Sehubungan itu, majlis penyerahan bendera negara kepada kontinjen negara ke 5th Islamic Solidarity Games 2021, Konya, Republik Turkiye telah diadakan di Ruang Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan penyerahan bendera negara oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke 5th Islamic Solidarity Games 2021, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.  Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Belia dan Sukan.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar bersama kontinjen negara sebelum berlepas menyertai kejohanan 5th Islamic Solidarity Games 2021 di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.

    Pada Islamic Solidarity Games kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai satu acara iaitu sukan renang. 

    Ketika ditemui pihak media, Nur Haziq Samil @ Ismail yang akan menyertai acara renang gaya bebas 400 meter dan 1,500 meter pada temasya sukan tersebut, menzahirkan kesyukuran apabila mendapat peluang untuk mewakili Negara Brunei Darussalam kali ini.

    Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia khususnya KKBS atas peluang yang diberikan dan berharap dapat memperbaiki catatan peribadinya dalam pertandingan itu nanti.

    Ia merupakan penyertaan keempat Brunei dalam Islamic Solidarity Games. Kali terakhir Negara Brunei Darussalam menyertai temasya sukan tersebut adalah pada tahun 2017 di Baku, Azerbaijan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...