Brunei sertai ACFF

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang sosio-budaya serta mengukuhkan perhubungan antara ASEAN dan Republik Rakyat China, ASEAN-China Centre (ACC) telah mengadakan ASEAN-China Film Festival (ACFF) bersempena 50 Tahun Penubuhan ASEAN.

Acara berkenaan juga diadakan berikutan dengan Forum Sidang Kemuncak Kerjasama Antarabangsa bagi Inisiatif ‘Satu Jalur Satu Jalan’ yang telah diadakan pada bulan Mei yang lalu di Beijing.

Pihak Persatuan China-ASEAN, Pentadbiran Akhbar Negara, Penerbitan, Radio, Filem dan Televisyen China (SAPPRFT) dan ACC akan menjadi tuan rumah bagi pihak Republik Rakyat China.

Manakala Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah dijemput untuk menjadi tuan rumah bagi pihak negara ASEAN untuk mengadakan ACFF tersebut yang akan bermula pada 2 hingga 5 Disember 2017 di Kuala Lumpur.

Rombongan negara yang akan menyertai festival tersebut sebelum berlepas ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Bagi Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Kebudayaan dan Kesenian telah mencalonkan dua buah filem yang terkini iaitu filem ‘RINA2’ terbitan Regalblue Production dan filem ‘Waris’ terbitan Bego Hazirul Production untuk menyertai festival berkenaan.

Rombongan negara yang akan diwakili oleh Ketua Jurulatih Kesenian, KKBS selaku ketua rombongan, Awang Shahminan bin Haji Mohamad Yasin, Pengarah filem Waris, Haji Mohd Sapami bin Abdullah dan dua pelakon dari filem RINA2 iaitu Syukri Mahari dan Tauffek Ilyas akan bertolak hari ini.

Pihak penganjur telah menjemput setiap negara anggota ASEAN untuk mempamerkan dua hingga tiga buah filem tempatan, sementara bagi Republik Rakyat China akan mempamerkan sebanyak 10 buah filem.

Festival ini juga akan diisikan dengan penyampaian anugerah kepada filem-filem tersebut daripada setiap negara peserta.