Brunei sertai AVA ke-23 secara maya

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Negara Brunei Darussalam akan mengambil bahagian dalam Kongres Persatuan Penilai ASEAN (AVA) ke-23 yang akan diadakan pada 24 dan 25 November secara maya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah, hari ini, kongres maya itu akan dihoskan oleh Kemboja di mana Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan merupakan Sekretariat AVA Brunei Chapter.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa Negara Brunei Darussalam akan diwakili oleh penilai daripada sektor awam dan swasta serta mereka yang berdaftar di bawah Lembaga Penilai dan Ejen Harta Tanah (BOVEA) di bawah Bahagian Pengurusan Lembaga, Kementerian Pembangunan dan ahli-ahli bahagian penilaian di bawah naungan Institusi Juruukur Brunei (BIG).

AVA Brunei Darussalam Chapter terdiri daripada tujuh ahli majlis dan merupakan wakil penilai daripada sektor awam dan swasta serta ahli akademik institusi tinggi tempatan di mana Presiden AVA Brunei Chapter pada masa ini ialah Haji Mohd Don bin Haji Omar.

AVA telah ditubuhkan pada 1981 dengan lima ahli pengasas iaitu, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand semasa mesyuarat penilai ASEAN yang diadakan di Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu menjadi Kongres AVA dan persatuan berkenaan telah mengembangkan keahliannya termasuk Brunei pada 1990, Vietnam pada 1997 dan Kemboja pada 2009.

Dua lagi negara ASEAN iaitu Laos dan Myanmar masih belum menjadi ahli secara rasmi kerana mereka tidak mempunyai profesion penilaian rasmi di negara mereka dan kini mempunyai status pemerhati dalam AVA.

Sejak 2015, kongres AVA telah menjadi acara tahunan dan akan dihoskan oleh setiap negara ASEAN mengikut susunan abjad. Tahun ini Mesyuarat Majlis AVA dan Kongres akan diadakan secara maya di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa tema utama kongres AVA ke-23 ialah ‘Penilaian di Tengah-tengah Pandemik (COVID-9)’ dan pada 25 November nanti, dua topik utama akan dibentangkan dan dibincangkan melalui perbincangan panel iaitu ‘Penilaian dan Ketidakpastian Pasaran’ dan ‘Cabaran Penggunaan Peraturan Semasa Pandemik’.

Tema utama kongres 2021 lebih menyentuh situasi serantau semasa terutamanya kesan COVID-19 ke atas profesion penilaian dan pasaran hartanah di kalangan negara ASEAN.

Kira-kira 1,000 orang peserta akan menyertai acara kongres maya itu dari negara-negara ASEAN dan akan turut disertai oleh penilai dari United Kingdom, AS, Kanada, Albania, China dan Mongolia.

Acara itu akan dimulakan dengan mesyuarat Majlis AVA di mana perkara kepentingan bersama ASEAN mengenai profesion penilaian akan dibincangkan seperti Garis Panduan Penilaian ASEAN.