BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Brunei Darussalam akan menyertai Kejohanan Taekwondo Junior Dunia Chuncheon 2024 yang berlangsung di Chuncheon Air Dome, Republik Korea, bermula hari ini hingga 6 Oktober.
Acara berprestij itu menghimpunkan lebih 900 atlet dari 106 negara yang bersaing dalam pelbagai kategori berat untuk merebut gelaran juara dunia.
Kejohanan tersebut juga diiktiraf sebagai salah satu platform terbesar untuk atlet muda dalam sukan taekwondo, memberikan peluang kepada peserta dari seluruh dunia untuk menunjukkan kemahiran dan ketahanan mereka di peringkat tertinggi.
Di samping itu, ia juga memainkan peranan dalam menggalakkan pertukaran budaya dan memupuk persahabatan dalam kalangan komuniti taekwondo global.
Negara diwakili oleh Dayang Nur Alysha Ameera binti Nasrul Azran, yang akan bertanding dalam Kategori Bawah 52kg Wanita. Dayang Nur Alysha, yang telah menjalani latihan intensif di bawah bim-bingan jurulatih kebangsaan, dijangka akan mempamerkan kemahiran terbaiknya ketika bersaing dengan atlet muda terbaik dunia.
Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam terus komited untuk mempromosikan sukan taekwondo sebagai salah satu sukan utama di negara ini, dengan harapan untuk melahirkan lebih ramai juara masa depan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Penyertaan Brunei dalam Kejohanan Taekwondo Junior Dunia Chuncheon 2024 adalah bukti perkembangan komuniti taekwondo negara dan membuka jalan kepada masa depan yang lebih cerah bagi sukan tersebut di Brunei.