Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sertai perlumbaan bot laju di Bintangor

    Oleh Hajah Saemah Kepli

    KUALA BELAIT, 22 Okt – Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam sekali lagi akan mewakili negara bagi penyertaan Perlumbaan Bot Laju bersempena Pesta Limau di Bintangor, Sarawak yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Oktober ini di sana.

    Sehubungan dengan itu acara penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam telah diadakan di kawasan Menara Cendera Kenangan Jalan Sungai, di sini hari ini.

    Hadir menyempurnakan penyerahan ben-dera negara ialah Ketua Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait, Awang Kamil bin Lamat kepada Setiausaha Agung Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam, Hajah Siti Aisah binti Haji Abdul Jalil.

    Perlumbaan bot berkuasa tinggi anjuran Majlis Daerah Meradong Julau itu akan disertai oleh pelumba dari beberapa buah negara termasuk Brunei Darussalam, Indonesia, Semenanjung Malaysia dan Sabah serta peserta tuan rumah. Perlumbaan ini akan dibahagikan kepada 10 kategori dan pelumba bot negara akan menyertai beberapa buah kategori termasuk Kategori SST60 Class Tunnel Boat dan 30HP Tunnel Boat.

    Ketika ditemui Media Permata, Hajah Siti Aisah memberitahu seramai 12 orang termasuk kru akan menyertai rombongan ke acara perlumbaan tersebut yang diketuai oleh beliau sendiri. Rombongan itu akan bertolak ke sana pada 25 Oktober ini. Menurut beliau lagi, persatuan tersebut kini lebih banyak melibatkan diri dalam acara-acara perlumbaan di negara jiran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    “Tahun ini merupakan kali ketujuh persatuan kami menyertai perlumbaan undangan di negara jiran terutamanya di Sarawak. Antara acara perlumbaan yang kami sertai baru-baru ini adalah perlumbaan bot laju di Belaga, Sarawak dan peserta kami telah berjaya menduduki tempat pertama dalam Kategori SST 60,” katanya.

    Jelas Hajah Siti Aisah selain menyertai acara perlumbaan di Sarawak, persatuan tersebut juga pernah mengikuti perlumbaan bertaraf antarabangsa seperti yang diadakan di Singapura, Malaysia dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

    Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam telah ditubuhkan selama 15 tahun dan mempunyai seramai 20 orang ahli di seluruh negara. Mereka sentiasa menyertai perlumbaan-perlumbaan undangan luar negara demi untuk meneruskan semangat kesukanan terutama sekali dalam sukan perlumbaan bot laju.

    Acara penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam, yang akan mewakili negara ke Perlumbaan Bot Laju di Bintangor, Sarawak.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda