Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Brunei sertai rakan kongsi SEA CC

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Persatuan-persatuan Profesional Keselamatan Siber dari lapan negara Asia Tenggara, baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk Rakan Kongsi Konsortium Asia Keselamatan Siber Asia Tenggara (SEA CC).

    Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat ITPSS Sdn Bhd, Awang Mohamad Azad Zaki bin Haji Mohd Tahir yang juga Presiden Persatuan Brunei Cybersecurity.

    Menurut kenyataan yang diterima, majlis penandatanganan MoU itu berlangsung di Singapura pada 23 November lalu sebagai sebahagian daripada perasmian Forum Konsortium Keselamatan Siber Asia Tenggara 2022, dengan tema ‘Memperkukuh kerjasama dalam Keselamatan Maklumat di seluruh Asia Tenggara’.

    Hadir menyaksikan penandatanganan itu ialah Menteri bagi Komunikasi dan Penerangan serta Menteri yang bertanggung-jawab bagi Negara Pintar dan Keselamatan Siber Singapura, Puan Yang Terutama Josephine Teo.

    Turut hadir ialah Pesuruhjaya Keselamatan Siber dan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA), David Koh.

    MoU itu adalah untuk mengukuhkan kerjasama dan kolaborasi serantau dalam bidang keselamatan siber dalam kalangan persatuan ahli selain untuk memanfaatkan inisiatif masing-masing dan mewujudkan ekosistem maklumat dan keselamatan siber antarabangsa yang bertenaga dan dinamik.

    Inisiatif kerjasama akan merangkumi latihan dan perkongsian pengetahuan untuk meningkatkan kedudukan profesional kakitangan keselamatan maklumat di Asia Tenggara.

    Kerjasama seumpamanya boleh membantu meningkatkan pemahaman dan pengetahuan ahli dalam domain keselamatan maklumat, keperluan perundangan dan kawal selia dan amalan terbaik dalam komuniti keselamatan siber.

    Lapan negara itu terdiri dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

    Awang Mohamad Azad Zaki (kiri) bersama perwakilan persatuan keselamatan siber serantau semasa penandatanganan MoU sambil disaksikan oleh PYT Josephine Teo. – Gambar serahan ITPSS
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...