Brunei sertai sesi VNR secara dalam talian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Negara Brunei Darussalam telah menyertai sesi Voluntary National Review (VNR) semasa Forum Politik Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pembangunan Mampan secara dalam talian (online), kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menyampaikan kenyataan bagi Negara Brunei Darussalam, yang antara lainnya menekankan komitmen dan menggariskan pencapaian-pencapaian Negara Brunei Darussalam, setakat ini dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.

Kenyataan turut menjelaskan bahawa forum yang diadakan setiap tahun itu merupakan platform utama PBB untuk merebiu pelaksanaan negara-negara ahli bagi Agenda Pembangunan Mampan dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030.

Persediaan bagi VNR itu telah diterajui oleh Jawatankuasa Khas Persediaan VNR bagi Negara Brunei Darussalam, yang dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

Penyediaan Laporan VNR NBD telah menggunakan pendekatan seluruh negara yang juga telah melibatkan sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGOs).

Kenyataan menyatakan lagi bahawa Laporan VNR bagi Negara Brunei Darussalam boleh dimuat turun melalui laman web https://sustainabledevelopment.un.org/memberstates/brunei.