Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Pasukan Triple Boling Padang Brunei Darussalam berjaya meraih pingat perak apabila berjaya melangkah peringkat akhir Triples Lelaki di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-29 Kuala Lumpur, Malaysia hari ini di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Dalam perlawanan akhir tersebut, Pasukan Brunei yang diwakili Ampuan Ahad Ampuan Kassim, Pengiran Haji Tengah Pengiran Haji Tejuddin dan Haji Naim Ibrahim berhempas pulas mencabar pasukan tuan rumah yang menang dengan mata 19-9.
Sementara itu, Pasukan Triples Wanita Brunei berjaya mengutip pingat gangsa selepas menewaskan Thailand dengan mata 15-11. Pingat emas dalam acara itu pula dimenangi oleh pasukan tuan rumah, manakala pingat perak diraih oleh Filipina.
Menurut Pengiran Tengah, di awal perlawanan mereka sedikit tertekan dan cuba bangkit semula namun pada keseluruhannya kami sangat berpuas hati meskipun tewas kepada pasukan yang menjadi pilihan untuk menjadi juara Triples Lelaki itu.
“Kami juga tidak menduga akan berjaya melangkah ke peringjat akhir kerana sasaran tertinggi yang kami jangka bagi acara Pasukan Triples ini adalah pingat gangsa, dan kejayaan hari ini membuktikan kemampuan sebenar kita dalam sukan boling padang,” ujarnya.
Sementara itu, Ampuan Ahad ketika ditemu bual pula menegaskan rasa bersyukur untuk meraih pingat perak dan mewakili pasukannya untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas peluang untuk membawa cabaran negara dalam acara triples hari ini.
Menurutnya, jika dibandingkan pasukan negara dengan pasukan tuan rumah, mereka mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri dan mereka juga baru melalui latihan intensif di Eropah menjadikan mereka jauh lebih bersedia berbanding pasukan negara.
“Namun itu bukan alasan kenapa kita perlu mengalah kerana dengan berkat doa rakyat Brunei dan juga datangnya sekelompok penyokong kita yang datang dari tanah air, telah memberikan semnagat untuk kita terus memberikan saingan kepada Pasukan Triples Malaysia,” ujarnya.