Brunei terus bebas jangkitan COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Negara Brunei Darussalam terus bebas daripada jangkitan COVID-19 dengan tiada jangkitan baharu dicatatkan setakat jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang.

Pengemaskinian status tersebut telah dikongsikan melalui Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan turut mengongsikan bahawa seramai 455 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala seramai 3,184 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 313 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 34,797 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.