Brunei teruskan cabaran

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Kejohanan Wusyu Remaja Asia ke-10 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas diteruskan lagi hari ini dengan menyaksikan atlet negara turut berentap dalam beberap acara.

Berkenan berangkat dan menyaksikan pertandingan pada sesi sebelah petang ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).

Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Aliiyah Amalul Bulqiah.

Antara acara yang dipertandingkan pada sesi petang ialah Changquan Junior Lelaki, Changquan Junior Perempuan, Nandao Belia Lelaki, Nandao Belia Perempuan, Jianshu Belia Lelaki, Gunshu Kanak-kanak Lelaki dan Gunshu Kanak-Kanak Perempuan.

Sementara itu, hadir bagi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah bagi acara yang dipertandingkan ialah Duta Besar China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan YAM Pengiran Anak ‘Aliiyah Amalul Bulqiah ketika berkenan dijunjung bergambar ramai semasa berangkat menyaksikan pertandingan petang kelmarin.
Lim Yee Sean mendapat tempat ketiga setelah memperolah 9.28 mata dalam acara Taijiquan Junior Perempuan.

Meskipun atlet wusyu negara gagal memperoleh sebarang pingat pada sebelah petang, pungutan satu pingat gangsa dalam perlawanan pada sebelah pagi sudah cukup bagi kontinjen negara negara untuk mengukir senyuman.

Lim Yee Sean berjaya menduduki tempat ketiga untuk mengutip pingat gangsa dalam acara Taijiquan Junior Perempuan setelah memperoleh 9.28 mata.

Sementara itu, pingat emas dan perak pula masing-masing menjadi milik atlet dari Vietnam dan Singapura.

Kejohanan wusyu remaja yang dihoskan buat pertama kali di Brunei sehingga 24 Ogos ini menyaksikan saingan hebat atlet dari 30 buah negara di rantau Asia.

Kontinjen wusyu Negara Brunei Darussalam meneruskan kempen dalam kejohanan ini dengan baik di mana pada peringkat ini, kontinjen negara sudah berjaya mengutip tiga pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

Terdahulu, pingat emas dimenangi oleh Hosea Wong Zhang Yu yang berjaya mengutip 9.52 mata dalam Acara Taijiquan Remaja Lelaki sementara pingat perak Brunei pula dimenangi oleh Basma Lachkar yang berjaya mengutip 9.54 mata dalam Acara Taijiquan Remaja Perempuan.