Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh PESTABARU
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Pasukan Chinlone Berangkai Negara Brunei Darussalam menjadi penyumbang pingat gangsa pertama Brunei Darussalam dalam temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-29 tahun 2017 yang kini berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia.
Pasukan di bawah bimbingan jurulatih Rawat Parbchompoo dengan bantuan Penolong Jurulatih Japar Wali itu berjaya mengumpul mata sebanyak 157 dan meskipun gagal melangkah ke peringkat akhir, pasukan negara berjaya merangkul tempat ketiga bahagian Chinlone Berangkai ini.
Pasukan Brunei disertai oleh Abdul Hadi Saidin, Abdul Mu’iz Nordin, Humaidi Brahim, Ismail Ang, Jamaluddin Haji Mazri, Mohammad Hafizuddin Jamaluddin, Muhammad Basyiruddin Haji Kamis dan Muhammad Azri Abdul Harith.
Tampil juara dan sekali gus menerima pingat emas pertama di Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur ialah pasukan tuan rumah daripada Malaysia, sementara naib juara pula dimenangi oleh Pasukan Filipina.
Juga menyertai perlawanan tersebut ialah pasukan daripada Thailand dan Laos.

Japar Wali sebelum ini menegaskan bahawa pasukan negara telah mengadakan latihan sejak Januari 2017 sebelum menjalani latihan di luar negeri di Thailand pada bulan Julai 2017 yang lalu dan ia menjadi salah satu persiapan rapi yang dijalankan oleh pihak persatuan bagi pemain kebangsaan.
Menurutnya Brunei akan menyertai beberapa acara berpasukan menentang Pasukan Thailand, Malaysia, Indonesia, Myanmar, manakala acara regu pula akan berhadapan Pasukan Malaysia dan Myanmar sedikit masa lagi.
Apabila ditanya mengenai latihan sebelum melangkah ke Sukan SEA sebelum ini, katanya latihan telah dijalankan pada setiap hari kecuali Ahad dan Jumaat selain menjalani latihan gim pada hari Sabtu.
“Pada saya semua pemain menunjukkan semangat jitu dan tinggi berbanding sebelum ini dan saya berharap semoga pasukan kita akan terus berjaya dalam acara Sukan SEA kali ke-29 kali ini” ujarnya. Beliau turut berharap akan lebih ramai pemain muda untuk tampil menyertai sukan sepak takraw bagi menyarung jersi kebangsaan di masa akan datang.