Brunei tetap teruskan pengeluaran minyak

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Walaupun negara turut terkesan dengan kejatuhan harga minyak mentah di seluruh dunia disebabkan COVID-19, Brunei akan tetap meneruskan pengeluaran minyak mentahnya.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar bawah) semasa menjawab persoalan mengenai harga minyak mentah selepas salah satu penanda aras utamanya, WTI jatuh di bawah sifar iaitu -AS$37 setong semalam, pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau mengatakan kejatuhan harga minyak itu turun disebabkan situasi bekalan yang berlebihan dengan banyak negara dalam keadaan mod lockdown sehingga tidak ada yang melakukan banyak pemanduan, kilang tidak beroperasi, namun ia tidak banyak mempengaruhi pengeluaran minyak mentah Brunei, cuma harga yang diperolehi perlulah mengikut persekitaran pasaran semasa.

Di samping itu, Yang Berhormat Dato menjelaskan telah mengadakan perbincangan bersama pihak Syarikat Minyak Brunei Shell mengenai perkara tersebut dan turut menyatakan inilah masa negara benar-benar perlu memastikan selalu mempunyai kepelbagaian portfolio pembeli.

“Banyak pembeli kami dari negara yang berada di rantau Asia Pasifik. Jika anda bayangkan, sekarang China sudah memulakan beberapa kilang mereka dan ekonomi mereka telah mula beroperasi. Kita juga ada pembeli dari negara-negara rantau Asia Utara yang lain,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Beliau berpendapat bahawa Brunei dapat terus menjual kargo ke luar negara namun persoalannya adalah bukan berapa banyak yang boleh dijual, tetapi lebih kepada mengenai berapa harga yang akan dijual.

“Dalam pasaran minyak mentah, harganya akan ditentukan kemudian. Anda boleh mengangkut kargo anda terlebih dahulu, tetapi bergantung pada, contohnya jika anda berurusan dengan kargo bulan Jun, itu akan menjadi apa pun harga yang berlaku pada bulan Jun,” jelasnya lagi.

Menurutnya, apa yang berlaku semalam dalam penanda aras WTI adalah gambaran sebenar keadaan permintaan dan pembekalan minyak mentah pada masa ini yang bukan saja memberi kesan serius terutamanya di Amerika Syarikat namun sudah setentunya ia mempunyai implikasi kepada penanda-penanda aras yang lain,” jelasnya.

Yang Berhormat Dato juga mengatakan yang OPEC dan OPEC Plus telah mengurangkan pengeluaran mereka lebih kurang seminggu yang lalu, walaupun begitu, masih belum cukup kerana permintaannya benar-benar menurun.