Oleh Fadhil Yunus
DUSHANBE, 24 OGOS – Pasukan tenis wanita Brunei Darussalam meneruskan kempen mereka dalam Pool A Piala Billie Jean King Kumpulan II Asia/Oceania 2022 dengan kekalahan 3-0 di tangan Uzbekistan di Central Stadium Frunze, Dushanbe, Tajikistan, hari ini.
Pemain Brunei Darussalam, Chong Ming Rui menerima kekalahan straight set 6-1, 6-2 di tangan Maftunabonu Kahramonova, sementara Tan Jia Hui ditundukkan oleh Ominahon Valihanova dengan keputusan 6-1, 6-0.
Pasukan negara masih memburu mata pertama di mana pasangan beregu Chong Ming Rui dan Tan Jia Hui tumbang 6-1, 6-2 di tangan Nasiba Espolova dan Aliya Musabekova dalam kategori beregu wanita.
Dalam perlawanan pembukaan menentang Sri Lanka pada Isnin, pemain negara, Tan Jia Hul tewas straight set kepada Hasali Gajaba manakala Chong Ming Rui turut mengalami kekalahan di tangan Rukshika Wikesuriya.
Pasangan beregu Chong Ming dan Tang Hi turut ditewaskan oleh pasangan dari Sri Lanka, Janali Manamperi dan Rukshikha Wijesuriya dengan keputusan 3-0.
Penyertaan pasukan wanita kebangsaan ke kejohanan tenis wanita antarabangsa menandakan kepulangan mereka beraksi di kejohanan tersebut sejak membuat penampilan pada 1996.
Brunei Darussalam telah diundi dalam Pool A bersama-sama Sri Lanka, Uzbekistan dan Guam, sementara Pool B terdiri daripada Mongolia, Pakistan, Turkmenistan dan Tajikistan selaku penganjur kejohanan.
Pasukan yang menamatkan peringkat kumpulan berada di tempat teratas akan bermain di pusingan playoff, dengan pemenang akan meraih promosi ke Kumpulan I Eropah/Afrika tahun depan.
Thailand sudah mengesahkan kedudukan di Kumpulan I Eropah/Afrika selepas menang dalam pusingan playoff menentang Hong Kong dalam Acara A di Pusat Tenis Kebangsaan di Kuala Lumpur, Malaysia awal bulan ini.
Brunei akan mengakhiri kempen peringkat kumpulan menentang Guam, yang tewas 3-0 ke atas Sri Lanka dalam pertemuan berasingan, esok.