Brunei tidak sertai Sukan Paralimpik Tokyo

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Majlis Paralimpik Negara Brunei Darussalam (MPNBD) baru-baru ini telah mengadakan mesyuarat Exco untuk sebulat suara memutuskan tidak men-yertai kejohanan luar negara memandangkan situasi pandemik COVID-19 pada masa ini.

Ia termasuk Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung bermula kelmarin, 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Keputusan itu dibuat berikutan keprihatinan mengenai keselamatan dan kesejahteraan kontinjen sepanjang kejohanan diadakan ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.

Walau bagaimanapun, pujian dan tahniah harus diberikan kepada dua atlet para yang telah aktif dalam latihan dan telah terpilih untuk mewakili negara dalam kejohanan berprestij iaitu Awang Sahri bin Haji Jumaat dan Dayang Norhensan binti Haji Mohd Taha.

MPNBD akan terus memberikan sokongan kepada para atlet kurang upaya yang mempunyai minat dan bakat untuk menyertai sukan kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa akan datang.