Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    Brunei tidak terkecuali kesan krisis iklim

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada kesan krisis iklim di mana suhu minimum telah meningkat di negara ini pada kadar 0.25 darjah Celsius sedekad dan mungkin akan mencapai peningkatan 4 darjah Celsius pada penghujung abad ini.

    Sementara itu, minimum turunan hujan bulanan juga telah meningkat pada kadar 100 milimeter sedekad dan diramalkan terus meningkat kepada minimum 500 milimeter menjelang 2050.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar, yang juga pengerusi bersama Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Brunei, dalam ucapannya semasa majlis penandatanganan memorandum persefahaman di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang berlangsung di Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    “Kita juga telah mengalami peningkatan jumlah kejadian banjir, kebakaran hutan, tanah susur dan angin kencang, yang merosakkan bangunan kita dan alam sekitar yang kita panggil rumah,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Beliau turut menyatakan bahawa pada 2019 sahaja, negara telah mengalami rekod baharu bagi jumlah hujan harian sebanyak 275 milimeter dan kebakaran hutan yang telah memusnahkan lebih 160 hektar hutan hujan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi semasa menyampaikan ucapan pada majlis penandatanganan memorandum persefahaman yang berlangsung di Bangunan PGGMB, kelmarin.

    Yang Berhormat Dato berkata bahawa kejadian berkenaan merupakan beberapa daripada kesan perubahan iklim, oleh itu, adaptasi adalah amat mustahak. Usaha kita, pada masa ini, sebahagian besarnya adalah reaktif serta berskala kecil, kebanyakannya hanya menumpukan kepada kesan sekarang dan risiko jangka masa terdekat.

    Pilihan adaptasi sedia ada boleh mengurangkan risiko iklim jika ia dilaksanakan dengan lebih cepat dan dibiayai secukupnya.

    Penyelesaian yang boleh dilaksanakan sudah wujud, tambah Yang Berhormat Dato, tetapi lebih banyak sokongan perlu sampai kepada komuniti yang terdedah, oleh itu, adalah penting untuk meningkatkan langkah-langkah adaptasi serta mempersiapkan negara dan komuniti untuk masa hadapan.

    Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Menteri Pembangunan berkata, walaupun sumbangan negara kepada pelepasan gas rumah hijau global adalah rendah iaitu 0.025 keseluruhan setahun, negara masih berdiri teguh kepada komitmennya sebagai sebahagian daripada agenda kebangsaan untuk menangani perubahan iklim dan ditegaskan semula dalam komitmen negara pada Perjanjian Paris.

    “Kita sedang bergerak ke arah net zero menjelang 2050, yang akan dipandukan menerusi pemuliharaan hutan dan peralihan tenaga,” ujar Yang Berhormat Dato.

    Beliau juga menambah bahawa ia bukannya satu tugasan yang mudah tetapi adalah mustahak serta percaya bahawa kita dapat melakukan perubahan yang besar dengan tindakan kecil.

    “Kami percaya dengan melakukan ini, kita akan dapat untuk membuka peluang-peluang signifikan bagi penjanaan pekerjaan dan pertumbuhan hijau,” ujarnya.

    Yang Berhormat Dato berkata lagi bahawa seperti yang dikongsi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS dan sebagai hasil daripada kepengerusian ASEAN Brunei pada 2021, Pusat Perubahan Iklim ASEAN akan ditubuhkan di Brunei pada 2022.

    Pusat itu, jelasnya, akan membolehkan negara menjadi hab ilmu pengetahuan dan penyelidikan bagi semua perkara berhubung perubahan iklim di rantau ini.

    Oleh itu, tegasnya, adalah amat penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan perubahan iklim dan menerapkan kompetensi perubahan iklim serta menggabungkan pembuatan keputusan dan perancangan strategik dengan maklumat iklim.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...