Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Brunei, Timor-Leste kukuh hubungan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Timor-Leste mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara serta membuka jalan bagi peluang kesalinghubungan udara.

    Hubungan dua hala itu dipertingkatkan menerusi penandatanganan Perjanjian Perkhidmatan Udara pada majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Pada majlis berkenaan, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste diwakili oleh Kementerian Pengangkutan dan Perhubungan.

    Menandatangani bagi pihak kerajaan Brunei ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan bagi pihak kerajaan Republik Demokratik Timor Leste ialah Menteri Pengangkutan dan Perhubungan, Tuan Yang Terutama Jose Agustinho da Silva.

    Turut hadir menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Republik Demokratik Timor-Leste, Puan Yang Terutama Adaljiza Albertina Xavier Reis Magno; Duta Besar Istimewa dan Mut-ak Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Abel Guterres, setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap di Kemen-terian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta pegawai-pegawai kanan dan eksekutif daripada agensi-agensi berkepentingan kedua-dua buah negara.

    Yang Berhormat Pengiran Shamhary dan TYT Jose Agustinho da Silva bertukar-tukar dokumen perjanjian perkhidmatan udara antara Negara Brunei Darussalam dan Timor-Leste.
    Yang Berhormat Pengiran Shamhary bergambar ramai bersama TYT Jose Agustinho da Silva dan PYT Adaljiza Albertina Xavier Reis Magno pada majlis penandatanganan berkenaan.

    Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Timor-Leste telah ditubuhkan pada 20 Mei 2002.

    Penandatanganan perjanjian itu merupakan satu pencapaian dalam hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara dan ia akan membuka jalan bagi kesalinghubungan
    udara. Ia juga membuka peluang kerjasama dalam industri penerbangan dan destinasi di antara Brunei dan Timor-Leste.

    Menerusi kesalinghubungan itu, ia setentunya akan mendorong bagi peningkatan hubungan ekonomi, sosial dan budaya antara rakyat kedua-dua buah negara.

    Terdahulu sebelum majlis penandatanganan, PYT Adaljiza Albertina Xavier Reis Magno dan TYT Jose Agustinho da Silva mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berhormat Pengiran Shamhary di mana mereka telah bertukar-tukar pandangan bagi mempertingkatkan kerjasama dalam sektor pengangkutan dan infokomunikasi antara kedua-dua negara terutama sektor pengangkutan udara.

    Semasa berada di Negara Brunei Darussalam, TYT Jose Agustinho da Silva dan rombongan juga mengadakan lawat kerja ke jabatan-jabatan dan pihak berkuasa di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi meninjau perkembangan sektor pengangkutan dan infokomunikasi di Brunei.

    Lawatan meliputi Kompleks Litar Latihan dan Ujian Memandu Kampung Sungai Akar, Jabatan Pe-ngangkutan Darat, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Jabatan Penerbangan Awam, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (PBMP).

    TYT Jose Agustinho da Silva turut mengadakan lawatan ke Telephone House, Unified National Network (UNN) Sdn Bhd di Sumbiling.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...