Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Brunei Trade muat maklumat berkaitan niaga

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Para peniaga yang ingin mendapatkan maklumat yang berguna seperti pengimportan atau pengeksportan barangan, mereka boleh melayari laman sesawang Brunei Trade, yang dilancarkan pada majlis yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan pelancaran laman sesawang bruneitrade.mofe-gov.bn itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, setiausaha-setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan dan pegawai Kementerian Kewangan dan Ekonomi seta wakil-wakil pihak swasta.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah, Bahagian Perdagangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayang Nor Zerlina binti Haji Momin menerangkan bahawa laman sesawang itu menyediakan maklumat-maklumat yang berguna bagi pengeksport, pengimport dan pembeli dari luar negara.

    Beliau turut menjelaskan bahawa laman sesawang tersebut memuatkan maklumat seperti langkah-langkah yang diperlukan dalam pengimportan atau pengeksportan barangan, perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang disertai oleh Negara Brunei Darussalam, pengeluar tempatan dan produk-produk keluaran Negara Brunei Darussalam, cukai barangan, statistik perdagangan serta acara-acara perdagangan seperti ekspo dan pameran.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai laman sesawang berkenaan, bolehlah menghubungi Bahagian Perdagangan, Tingkat 3, Kementerian Kewangan dan Ekonomi di talian 2383696 dan melalui e-mel tf@mofe.gov.bn atau Certificate of Origin Office, Tingkat 1, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, melalui e-mel coo.officebrunei@mofe.gov.bn.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menyempurnakan pelancaran laman sesawang Brunei Trade di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
    Para jemputan melihat lebih dekat maklumat-maklumat yang terdapat dalam laman sesawang Brunei Trade.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...