Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Brunei tumpu capai UHC

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Negara Brunei Darussalam mengutamakan liputan kesihatan sejagat (UHC) sebagai tunjang dasar dalam perancangan dan pelaksanaan rangka kerja sistem penjagaan kesihatan kebangsaan, untuk pemberian penjagaan kesihatan kebangsaan berkualiti tinggi dan komprehensif yang berkesan, cekap, responsif, berpatutan, saksama serta boleh diakses oleh semua.

    Namun begitu, terdapat cabaran-cabaran yang perlu diatasi termasuk sumber tenaga kerja manusia yang mencukupi, penuaan penduduk, peningkatan kos penjagaan kesihatan dan peningkatan bebanan disebabkan penyakit-penyakit tidak berjangkit.

    Perkara itu dikongsikan semasa sesi plenari, bagi agenda mengenai penjagaan kesihatan asasi sebagai pemacu utama untuk mencapai UHC, pada Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan Komanwel (CHMM) ke-35 yang berlangsung di Geneva, Switzerland pada 20 Mei lalu, yang dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Turut menghadiri mesyuarat berkenaan ialah Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, Puan Yang Terutama Dayangku Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee dan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui.

    Sementara itu, di bawah sesi plenari mengenai agenda usaha memperkukuhkan pencegahan, kesiapsiagaan dan respons kepada pandemik dengan melabur dalam pengilangan produk dan teknologi kesihatan tempatan yang saksama, pandemik COVID-19 telah menunjukkan kepentingan sistem kesihatan yang kukuh dan berdaya tahan yang mana hanya boleh dicapai dengan akses yang saksama dan tepat pada masanya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menghadiri Mesyuarat CHMM ke-35 yang berlangsung di Geneva, Switzerland. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    Bagi negara kecil seperti Negara Brunei Darussalam yang mempunyai kapasiti terhad, adalah penting untuk tidak terlalu bergantung pada rantaian bekalan global untuk akses kepada keperluan tindak balas perubatan.

    Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam telah pun mencadangkan untuk memasukkan beberapa perkara dalam konvensyen pandemik yang sedang dirangka, antara lainnya untuk mewujudkan mekanisme pelbagai hala yang kekal untuk memastikan tindak balas efektif dan saksama dalam respons global kepada pandemik dengan perlunya kerjasama yang lebih erat antara negara dalam ketelusan dan pertukaran maklumat serta harga pengilangan.

    Selain daripada itu, pemindahan teknologi dan peningkatan pengetahuan mestilah norma dalam fasa pandemik dan tindak balas, melalui pembiayaan untuk kajian dan insentif-insentif untuk peningkatan pengetahuan serta pemindahan teknologi.

    Mesyuarat yang dihadiri oleh menteri-menteri kesihatan dan pegawai-pegawai kanan dari negara-negara ahli Komanwel berkenaan telah membincangkan mengenai kerjasama Komanwel dalam memantapkan tindakan-tindakan dalam mencapai UHC yang menjadi tema mesyuarat iaitu Getting UHC in the Commonwealth on Track for 2030.

    Ia memberikan tumpuan kepada meneroka peluang bagi mengkaji semula kemajuan Komanwel dalam agenda UHC serta perkongsian cabaran-cabaran dan keutamaan negara-negara Komanwel mengenai isu yang berkaitan dengan UHC termasuk peranan penjagaan kesihatan asasi ke arah mencapai UHC dan usaha dalam mengukuhkan kesiapsiagaan menangani pandemik.

    Mesyuarat berakhir dengan kesepakatan meluluskan Kenyataan CHMM ke-35 yang antara lain menekankan penyepaduan dan mengintegrasikan penjagaan kesihatan asasi, kesihatan mental dan teknologi penjagaan kesihatan digital sebagai pemacu utama untuk mencapai UHC termasuk memanfaatkan strategi dan penyelesaian inovatif, menangani cabaran kekurangan sumber tenaga kerja manusia serta keperluan untuk menangani isu peningkatan beban kesihatan mental.

    Mesyuarat juga bersepakat mempertingkatkan dan memperkukuhkan usaha tindakan, kesiapsiagaan dan pencegahan pandemik, dan menyokong usaha untuk mengukuhkan seni bina kesihatan global, termasuk melalui rundingan instrumen antarabangsa baharu dan pindaan kepada peraturan kesihatan antarabangsa, meningkatkan pelaburan dan kolaborasi kapasiti pengilangan tempatan dan serantau yang berdaya tahan untuk menangani pandemik masa hadapan serta mempromosikan penyelidikan dan pembangunan.

    Para menteri yang bersidang juga bertekad untuk mencapai mandat dan komitmen Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) dengan memberikan keutamaan dan pelaburan termasuk mempercepatkan kemajuan dalam menghapuskan penyakit neglected tropical diseases.

    Selain itu menekankan kepentingan untuk mengukuhkan penjagaan kesihatan asasi untuk memastikan akses yang saksama kepada perkhidmatan pemeriksaan dan rawatan yang berkualiti untuk kanser serviks, mengalu-alukan tumpuan baharu Komanwel untuk menggalakkan penyelarasan pelbagai sektor untuk menangani kekurangan zat makanan, penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit mental, kepentingan aktiviti fizikal, sukan dan pemakanan.

    Sidang menteri juga memperakui kepentingan pendekatan pelbagai sektor dan pelbagai disiplin untuk mengatasi jurang dan memajukan penyelarasan untuk mencapai UHC menjelang 2030.

    Semasa di Geneva, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham juga telah mengadakan kunjungan muhibah bersama Sekretariat Agung Komanwel, Puan Yang Terutama Patricia Scotland untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan kesihatan yang berkepentingan dalam kalangan negara Komanwel.

    Negara Brunei Darussalam juga telah pun diberikan penghormatan untuk mempengerusikan Commonwealth Advisory Committee on Health (CACH), iaitu komiti yang memberikan nasihat dan panduan kepada menteri-menteri kesihatan Komanwel dan Sekretariat Komanwel mengenai isu-isu kesihatan awam yang berkepentingan, bagi terma 2023 sehingga 2024.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...