Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Brunei tundukkan Laos 1-0

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Pasukan bola sepak kebangsaan Negara Brunei Darussalam memberikan penyokong kuat bola sepak tempatan sesuatu untuk diraikan berikutan kemenangan 1-0 menentang Laos semasa perlawanan persahabatan antarabangsa Tahap I di Balapan dan Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah semalam.

    Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim.

    Penyerang Brunei, Naziruddin bin Haji Ismail menjaringkan gol pertama buat cap antarabangsanya pada minit ke-26, yang terbukti sebagai jaringan kemenangan perlawanan.

    Ia juga merupakan kemenangan pertama pasukan negara di bawah pengendalian ketua jurulatih yang baharu, Mario Rivera Campesino.

    Pemain gantian Laos, Anousone Xatpanya hampir membuat impak segera selepas menyambut hantaran lintang oleh Thanouthong Kietnalonglop, tetapi penjaga gol Brunei, Haimie anak Nyaring berjaya mengagalkan percubaannya.

    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berangkat menyaksikan perlawanan persahabatan di antara Brunei dan Laos di Balapan dan Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Aksi pemain pasukan Brunei dan pasukan Laos semasa perlawanan persahabatan di Balapan dan Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas kelmarin.

    Seorang lagi pemain penyerang Brunei, Muhammad Nur Asyraffahmi bin Norsamri memberikan ancaman dengan kebolehan menggeleceknya dan rembatannya dari tepi kotak adalah peluang pertama pasukan Brunei pada separuh masa kedua.

    Manakala penyerang Brunei, Hakeme Yazid bin Said mempamerkan permainan yang baik walaupun hantarannya tidak sampai kepada Razimie Ramli. Brunei mempunyai peluang yang baik untuk menambah jaringan apabila pemain Laos gagal mengawal bola sekali gus memberi laluan kepada Nur Asyraffahmi untuk menjaringkan gol namun tidak dapat mencari sasaran untuk menewaskan penjaga gol, Phounin Xayyasone.

    Pemain Laos, Bounkong hampir menjaringkan gol melalui tandukannya namun tidak menemui sasaran pada masa kecederaan.

    Pada detik-detik akhir permainan pasukan mengawal permainan dan Brunei berada di kawasan Laos, dan mengesahkan kemenangan yang berharga buat pasukan Brunei.

    Ketua jurulatih kebangsaan Brunei, Mario Rivera Campesino berkata, pasukannya layak mendapat kemena-ngan selepas dua minggu menjalani latihan keras.

    Dalam temu bual selepas perlawanan, dia berkata, “Saya sangat gembira dengan pemain atas usaha mereka dan mempunyai kepercayaan untuk mencuba sesuatu. Pemain telah bekerja keras selama dua minggu terakhir dan mereka berhak untuk menang.”

    Campesino mendedahkan bahawa mereka beraksi lebih baik semasa perlawanan menentang Maldives.

    “Kami tidak bermain dengan baik dalam serangan tetapi pertahanan kami bagus dan kami menang.

    “Pasukan Laos melakukan banyak tekanan dan mereka garang dengan permainan mereka. Tetapi, kami perlu mengekalkan perkara yang baik dan cuba membetulkan kesilapan.”

    Dengan perlawanan kelayakan Piala Elektrik Mitsubishi 2022 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) menentang Timor Leste akan datang, perlawanan persahabatan berkenan menjadi satu persediaan yang baik buat pasukan Brunei.

    Campesino berkata, “Kemenangan ini akan banyak membantu kami dalam membuat persiapan untuk pusingan kelayakan bukan sahaja disebabkan keputusan, tetapi perasaan menang adalah sangat penting.

    “Kami memerlukan perasaan untuk memenangi perlawanan bola sepak. Dengan kerja keras dan kepercayaan pemain, kami boleh menjadi lebih baik dan layak bagi cabutan utama Piala Elektrik Mitsubishi AFF,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...