Brunei waspada virus 2019-nCoV

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Negara Brunei Darussalam setakat ini bebas daripada kes jangkitan pernafasan akut teruk yang kini sedang menular di China dan beberapa negara Asia lainnya.

Namun dalam langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan telah meningkatkan langkah-langkah berwaspada di pintu masuk utama ke negara ini dengan memperkenalkan semula penggunaan pemeriksaan suhu badan bagi penumpang-penumpang yang tiba di negara ini khususnya dari bandar-bandar China.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan hari ini, penggunaan imbasan termal sudah pun bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 21 Januari lalu, manakala Borang Pengisytiharan Kesihatan juga akan digunakan semula bagi penerbangan-penerbangan yang tiba dari bandar-bandar China.

Kementerian Kesihatan juga mengongsikan perkembangan penyakit koronavirus itu yang disahkan oleh pihak berkuasa China belum pernah ditemui sebelum ini pada beberapa kes jangkitan.

Koronavirus ini dikenali sebagai 2019-nCoV dan setakat 23 Januari jam 1 pagi, sebanyak 554 kes telah disahkan di China di mana 17 orang daripadanya telah meninggal dunia dan kebanyakan wilayah di China telah melaporkan adanya kes jangkitan tersebut, termasuk Taiwan dan Macau.

Selain itu, jangkitan virus tersebut juga telah disahkan di beberapa buah negara iaitu Thailand, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat. Kesemua kes yang dilaporkan di luar China mempunyai sejarah perjalanan ke Wuhan, China dalam masa 14 hari sebelum menunjukkan tanda-tanda jangkitan. Dalam pada itu, terdapat juga laporan yang belum disahkan mengenai beberapa kes lagi di beberapa buah negara lain.

Punca jangkitan masih belum diketahui dan pertubuhan-pertubuhan kesihatan antarabangsa sedang memahami jangkitan dan cara-cara pengawalannya dan terdapat laporan mengenai penularan jangkitan tersebut dari manusia ke manusia.

Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan atau menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke tempat-tempat yang diketahui terlibat dengan kejadian jangkitan virus 2019-nCoV.

Kementerian akan terus memastikan tahap kesiapsiagaan dan bekerjasama dengan pihak WHO serta negara-negara jiran bagi mengawal keadaan ini serta memaklumkan orang ramai perkembangan terkini penyakit tersebut.

Skrin pengimbas kelihatan di Lapangan Terbang Hong Kong. Brunei turut menggunakan pengimbas termal di lapangan terbangnya bagi pemantauan virus. – AFP