bruneihalalfoods hulur bantuan untuk keluarga kurang berkemampuan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Sebagai sebahagian daripada program amal tahunan dan tanggungjawab korporat sosialnya, Ghanim International Corporation Sdn Bhd (bruneihalalfoods) bekerjasama dengan Projek Bina Ukhwah dalam memberikan bantuan kepada keluarga kurang berkemampuan di negara ini bermula pada 20 April hingga 3 Mei depan.

Ke arah itu, bruneihalalfoods menawarkan pelbagai jenis produk tempatan termasuk makanan dalam tin dan makanan siap untuk dimakan.

Untuk aktiviti amal ini, orang awam yang berhasrat untuk membeli barangan ter-sebut bolehlah mengunjungi bilik pameran bruneihalal di Kompleks Warisan Mata-Mata, Kampung Beribi.

Manakala itu, bagi yang berhasrat untuk membuat sumbangan dengan produk bruneihalal bolehlah menyumbang ke akaun BIBD Ghanim International Corporation Sdn Bhd.

Segala urus niaga yang dilakukan melalui pemindahan dalam talian akan dikendalikan oleh kakitangan bruneihalal-foods di mana mereka akan memilih produk yang sesuai untuk disumbangkan kepada penerima.

Terdapat 80 buah keluarga yang kurang berkemampuan telah dikenal pasti untuk inisiatif berkenaan di keempat-empat daerah yang mana Projek Bina Ukhwah memperolehi senarai keluarga dengan bantuan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Antara lain objektif projek berkenaan adalah untuk memberi kembali kepada masyarakat seterusnya membantu mengurangkan beban para penerima bukan hanya pada bulan Ramadan tapi juga untuk persiapan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dengan adanya projek seumpama ini, diharap masyarakat akan terus menerapkan semangat memberi dan menuai keberkatan sepanjang bulan Ramadan ini.